
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perak menegaskan bantahan keras terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) 2025 yang disifatkan sebagai satu ancaman kepada hak rakyat.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa RUU tersebut, jika dilaksanakan, berisiko menindas golongan miskin bandar, pemilik hartanah kecil, serta penghuni rumah kos rendah di Perak demi mengutamakan kepentingan pemaju besar.
“Walaupun terdapat elemen positif dalam usaha menangani isu bangunan usang, majoriti peruntukan lain jelas lebih memihak kepada kepentingan pemaju besar berbanding kebajikan rakyat marhaen,” tegas kenyataan itu.
ADUN PN turut menyorot kebimbangan utama terhadap penetapan ambang persetujuan pemilik kerana terlalu rendah, iaitu hanya 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun dan serendah 51 peratus untuk bangunan usang, yang disifatkan sebagai kadar terendah di rantau ini.
Menurut mereka, syarat longgar itu membuka ruang kepada pengambilalihan tanah dan hartanah secara paksaan, termasuk Tanah Rizab Melayu, tanah adat, wakaf dan warisan, sekali gus menjejaskan hak pemilik kecil yang tidak mampu melawan kuasa modal besar.
Bagi konteks Perak, kebimbangan lebih besar tertumpu kepada nasib penyewa rumah kos rendah yang merupakan majoriti penghuni di kawasan bandar.
“RUU ini langsung tidak memberi jaminan perlindungan kepada golongan penyewa miskin bandar. Jika dilaksanakan, mereka berisiko diusir dari kawasan bandar, sekali gus mempercepatkan proses gentrifikasi yang menghalau penduduk asal,” jelas kenyataan itu lagi.
Justeru, ADUN-ADUN PN Perak menggesa Kerajaan Persekutuan agar menangguhkan pelaksanaan RUU URA ini dan merujuknya semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian yang lebih mendalam.
Pada masa yang sama, mereka menuntut Menteri Besar Perak untuk menyatakan pendirian rasmi kerajaan negeri terhadap RUU kontroversi tersebut.
Mereka juga turut menekankan bahawa sebarang pembangunan semula bandar di Perak mestilah didahului dengan laporan impak sosial dan ekonomi yang dibentangkan di Dewan Negeri.
Selain mendesak agar ambang persetujuan dinaikkan kepada 95 peratus serta jaminan perlindungan kepada kuota Bumiputera dan pampasan adil diberikan.
Pihaknya juga turut mempersoalkan tindakan RUU tersebut yang memberikan kuasa eksekutif sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam urusan pembaharuan bandar, sedangkan urusan perancangan bandar adalah di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.
“Persoalannya, adakah Kerajaan Negeri bersetuju dalam perkara ini?” soal mereka.
Kesimpulannya, mereka menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama rakyat menolak dasar yang menekan dan berisiko menggadaikan hak rakyat kecil kepada pemaju besar.
“Kami tidak menolak sebarang pembangunan, namun pembangunan yang adil dan berpihak kepada rakyat perlu diutamakan,” tegas kenyataan itu.
Kerajaan dijangka meneruskan pembentangan bacaan kali kedua RUU tersebut di Parlimen pada hari ini walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang.
Terdahulu, RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming selepas bacaan kali pertama dibentangkan pada Khamis, 21 Ogos lalu.
Ia selepas melalui beberapa peringkat seperti draf akhir ke Pesuruhjaya Undang-undang (AGC), Jemaah Menteri dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











