
KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menegaskan keperluan kerajaan menyalurkan semula sebahagian hasil kutipan levi, fi logistik dan caj kargo rentas sempadan kepada negeri-negeri sempadan, khususnya Perlis, Kedah dan Kelantan.
Beliau berkata, negeri-negeri tersebut merupakan pintu masuk utama perdagangan antarabangsa yang turut menanggung kos penyelenggaraan jalan dan infrastruktur, namun pulangan hasil tidak seimbang dengan tanggungan beban pembangunan.
“Apakah mekanisme yang sedang dirangka oleh kementerian bagi memastikan sebahagian daripada kutipan hasil logistik ini dapat disalurkan semula kepada negeri-negeri sempadan?
“(Iaitu) untuk pembangunan ekonomi tempatan dan infrastruktur logistik?” soal beliau dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bahawa isu pulangan hasil kepada negeri adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
Namun katanya, Kerajaan Persekutuan tetap memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur di negeri sempadan.
“Sebagai contoh, bagi Perlis, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM340 juta bagi projek Perlis Inland Port. Peruntukan ini melibatkan beberapa komponen infrastruktur kritikal yang akan menyokong pembangunan projek berkenaan,” jelas beliau.
Rushdan sebelum itu dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah bentuk hasil atau pulangan ekonomi
langsung yang diperolehi oleh negeri-negeri sempadan daripada pergerakan harian kenderaan perdagangan dan kargo rentas sempadan Malaysia-Thailand. – HARAKAHDAILY 28/8/2025











