PN tak pernah gubal Akta URA, hanya garis panduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pembaharuan semula bandar yang dibuat ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak pernah melibatkan penggubalan Akta, sebaliknya hanya garis panduan berasaskan undang-undang sedia ada.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan, semasa PN, pelaksanaan pembaharuan semula bandar memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik tanah, manakala bagi pemilik strata juga menuntut persetujuan penuh semua pemilik.

“Untuk peratus kecil yang atas sebab luar biasa menolak, Mahkamah boleh menilai. Sebab itu Razak Mansion, Kerinchi dan Bangsar yang sekarang dijadikan contoh oleh Madani dapat dilaksanakan. Itu dengan persetujuan 100 peratus pemilik strata, tanah.

“Itu dilaksanakan sebelum RUU URA yang Menteri dari DAP cadangkan sekarang yang masukkan jika dah dapat persetujuan 80 peratus atau 75 peratus atau 51 peratus dah cukup untuk isytiharkan pembangunan semula bandar. Jauh beza!” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Mengulas dakwaan kononnya PN memulakan usaha penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), Ahmad Amzad menegaskan bahawa akta berkenaan tidak pernah wujud sebelum ini.

“Bagi yang berkata Akta URA dah dimulakan oleh PN, Akta URA tidak pernah ada sebelum ini. Yang ada adalah Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar yang mengikut undang-undang sedia ada.Ini akta baharu yang digubal oleh kerajaan sekarang,” kata beliau.

Amzad yang juga mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen hanya dapat meneliti cadangan penuh akta itu pada 21 Ogos lalu, iaitu kurang seminggu sebelum ini.

“Itupun pelbagai pengamal undang-undang telah mengesan bahaya besar dari akta ini,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat.

- Advertisement -

Penjelasan pegawai KPKT keliru, bercanggah

Ahmad Amzad turut menegaskan bahawa penjelasan yang diberikan pegawai kanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai RUU URA bercanggah dengan kandungan sebenar terutama berkaitan had ambang persetujuan.

Menurut beliau, pegawai kanan KPKT itu memberitahu kononnya had ambang persetujuan hanya untuk tujuan perundingan sahaja dan masih memerlukan persetujuan 100 peratus, tetapi Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan sebaliknya dalam dokumen RUU URA.

“Penjelasan pegawai KPKT itu adalah salah. Sebenarnya inilah masalahnya. Dalam pelbagai sesi ‘libat urus’ yang dibuat, KPKT memberi penjelasan yang mengelirukan,” tempelaknya.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, antara kekeliruan lain yang ditimbulkan ialah dakwaan semua kerajaan negeri sudah dirundingkan dan bersetuju dengan pelaksanaan URA.

“Ternyata ianya salah. Empat Kerajaan Negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) membuat kenyataan tegas menolak URA. Bila masa mereka bersetuju?” soalnya.

Beliau berkata, isu lain yang dibangkitkan ketika sesi libat urus termasuk kos perpindahan, kos pengangkutan anak-anak ke sekolah apabila pemilik asal dipindahkan sementara menunggu rumah baharu siap, serta janji bahawa kediaman baharu lebih luas berbanding asal.

“Masa bincang semua sanggup. Tapi ianya tidak dimasukkan dalam RUU URA. Janji yang (seperti ini) tak boleh dipegang,” bidasnya yang terdahulu turut serta menerima memorandum bantahan di pagar Parlimen, semalam.

Ahmad Amzad menegaskan, sekiranya pegawai KPKT sendiri mengeluarkan jawapan berbelit, lebih besar kemungkinan pemaju juga berbuat demikian ketika berurusan dengan pemilik tanah.

“Apa jaminan yang mereka tidak akan lebih berbelit belit lagi janji bulan bintang semata-mata untuk dapatkan tandatangan persetujuan 80 peratus, 75 peratus atau 51 peratus pemilik?” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -