Buli: Kembali kepada didikan akhlak dan agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar menjadikan sukatan pelajaran dengan penekanan kehidupan beragama berpandukan al-Quran dan Sunnah sebagai penyelesaian utama bagi menangani isu buli yang semakin meruncing di sekolah.

- Advertisement -

​Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, kes buli lahir daripada sikap pelajar kurang memiliki sahsiah terpuji, justeru penyelesaiannya mesti berfokus untuk melahirkan generasi berakhlak mulia melalui didikan agama yang jitu.

​”Kami sangat menyokong laporan jawatankuasa pemilihan khas, namun kita mula berpandangan kes buli lahir daripada sikap pelajar yang kurang memiliki sahsiah terpuji.

​”Oleh itu, penyelesaian mesti berfokus untuk melahirkan generasi dan pelajar yang memiliki akhlak mulia,” katanya ketika membahaskan Laporan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan di Dewan Rakyat, hari ini.

​Beliau menggariskan lapan pendekatan berteraskan nilai-nilai Islam yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru, sekolah dan KPM bagi membentuk persekitaran sekolah sejahtera.

​Antara cadangan tersebut termasuklah penekanan kepada pendidikan akhlak dan ihsan sejak usia muda, larangan menyakiti atau menghina orang lain, serta penerapan konsep ukhuwah atau persaudaraan sesama manusia.

​”Islam menanam nilai persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Pelajar diajar bahawa setiap orang adalah saudara seagama yang perlu disayangi dan dilindungi, bukan dibuli. Begitu juga bagi kaum lain, mereka adalah saudara kita,” tegasnya memetik hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

​Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan amalan amar ma’ruf nahi munkar (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran), di mana pelajar dididik untuk bukan sahaja mengelak perbuatan buli, tetapi juga menegur atau melaporkannya dengan hikmah.

​Pendekatan Islam katanya, tidak hanya menghukum tetapi juga mendidik melalui nasihat, kaunseling dan hukuman yang berhikmah bagi memberi peluang kepada pembuli untuk berubah.

​”Fokus kita bukan pada sistem yang dibentuk, tetapi kita kena mengisi sistem itu dengan ajaran agama. Kerana di sanalah pembentukan pelajar yang berakhlak mulia dan insya-Allah akan jauh daripada malapetaka buli yang semakin kita lihat menjijikkan,” ujarnya.

​Salamiah menyimpulkan bahawa usaha mengejar kecemerlangan akademik semata-mata tidak akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat jika tidak diimbangi dengan pembentukan sahsiah berteraskan agama.

​”Akhirnya, kita perlu menegaskan bahawa buli hanya dapat diselesaikan oleh KPM melalui sukatan pelajaran yang menekankan hidup beragama berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -