
KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoal dalam menangani isu kebajikan staf kesihatan melibatkan perkahwinan jarak jauh (PJJ), duka lara serta penghijrahan doktor dan jururawat.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) turut bertanya mengenai isu penempatan pegawai perubatan serta fenomena ‘hijrah’ tenaga kesihatan ke luar negara.
Kerajaan gesanya, perlu mempunyai dasar jelas bagi mengurangkan penghijrahan doktor dan jururawat yang memilih meninggalkan tanah air kerana tawaran gaji lebih tinggi di luar negara.
“Apakah dasar kerajaan untuk mengurangkan hijrah doktor dan jururawat keluar negara yang menawarkan gaji yang lebih tinggi?” tanya beliau mengemukakan soalan tambahan dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai dasar asas Kementerian Kesihatan dalam urusan penempatan perjawatan tetap pegawai perubatan, khususnya dalam mengimbangi kekurangan tenaga perubatan dan menangani masalah tekanan (PJJ) dalam kalangan pegawai terbabit.
“Apakah dasar asas Kementerian dalam urusan penempatan perjawatan Pegawai Perubatan bertaraf tetap untuk mengimbangi kekurangan Pegawai Perubatan dan juga kes ‘Duka Lara’, PJJ dalam kalangan Pegawai Perubatan?” soal beliau lagi.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni menjelaskan bahawa kerajaan pada masa ini tidak menghalang jururawat untuk berhijrah ke luar negara, selaras dengan dasar sedia ada.
“Dasar kita tidak menghalang mana-mana jururawat untuk berhijrah, memandangkan mereka juga berhak memilih jalan meningkatkan pendapatan serta mencari peluang lain di luar KKM,” jelasnya.
Beliau menambah, sebelum ini bekalan jururawat di dalam negara dianggap mencukupi, namun, ketika berdepan pandemik COVID-19, pengambilan latihan kejururawatan terpaksa dihentikan sementara, menyebabkan jumlah tenaga agak terjejas.
Sebelum itu, Salamiah pada soalan asalnya meminta Menteri Kesihatan menyatakan, apakah perancangan Kerajaan dalam menangani krisis kekurangan doktor dan jururawat di hospital-hospital awam termasuk Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











