
AYER KEROH: Ketua Pembangkang Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menzahirkan kebimbangan serius berhubung Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibahaskan di Parlimen dalam masa terdekat.
Beliau yang mewakili barisan wakil rakyat pembangkang negeri berkata, walaupun akta itu disasarkan untuk membangunkan semula kawasan usang di bandar, ia berpotensi besar menceroboh hak milik rakyat.
Menurutnya, ia khusus melibatkan golongan B40 dan M40 yang memiliki kediaman di kawasan lama sekitar bandar Melaka, termasuk Bukit Cina, Kampung Jawa, Kampung Morten dan kawasan tradisi lain.
Sehubungan itu, beliau menuntut beberapa perkara termasuk pendirian rasmi Kerajaan Negeri Melaka terhadap RUU URA sama ada menyokong pelaksanaannya dalam bentuk asal tanpa pindaan, serta penjelasan langkah perlindungan untuk pemilik sedia ada dan penduduk tempatan.
“(Selain itu), satu kertas dasar khusus perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Kami menggesa Ketua Menteri membawa isu ini ke sidang DUN akan datang dan membentangkan bagaimana URA akan atau tidak akan diguna pakai di negeri ini.
“Rakyat Melaka (juga) mesti diberi hak untuk menyuarakan pandangan mereka melalui libat urus awam. Kerajaan Negeri mesti mengadakan forum dan sesi dialog terbuka melibatkan wakil pemilik rumah, NGO, arkitek warisan, peguam, serta pihak berkepentingan lain.
“Hentikan apa-apa rundingan awal dengan pemaju berkaitan pembaharuan bandar sehingga ada jaminan undang-undang bahawa hak pemilik sedia ada akan dipelihara sepenuhnya,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yadzil berkata, perkara itu penting memandangkan sebahagian besar kawasan bandar dalam negeri Melaka terletak di bawah tapak warisan atau kawasan bernilai sejarah tinggi.
Katanya, sekiranya URA dilaksanakan secara membuta tuli tanpa garis panduan khas, tiga perkara utama akan berlaku iaitu warisan budaya akan terhapus, penduduk asal akan digantikan, manakala pemaju akan mendapat manfaat lebih besar daripada pemilik sebenar tanah.
“Kami mengulangi bahawa apa-apa pembangunan tidak harus mengorbankan komuniti asal, dan pemilikan rakyat Melaka atas tanah sendiri harus dipertahankan.
“Sekiranya kerajaan negeri berdiam diri, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa usul khas di sidang DUN Melaka bagi mendesak penjelasan penuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











