PAS tolak URA, akan gerak himpunan mega rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai pelbagai kelemahan, permasalahan dan kesan jangka panjang terhadap perpaduan serta keharmonian hidup rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, justeru parti itu menggesa kerajaan menghentikan serta menarik balik pelaksanaan URA dengan segera.

“Pandangan ini bukan pandangan PAS semata, tetapi ia turut disokong oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ia menyaksikan bantahan terbesar terhadap sesuatu RUU berbanding pelbagai RUU sebelum ini, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga terhadap pelbagai permasalahan besar berkaitan URA.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sikap kerajaan yang dilihat angkuh itu jelas menunjukkan ia langsung tidak mempedulikan pandangan pemegang taruh serta rakyat terbanyak.

“Perikatan Nasional (PN) telah menyatakan bantahan awal semasa bacaan kali pertama, dan ia disusuli dengan pelbagai siri ceramah serta sesi penerangan oleh pelbagai pihak.

“Namun, sikap Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) daripada DAP yang bertanggungjawab dalam hal ini amat angkuh.

“PAS akan terus membantah, dan keangkuhan Menteri serta kerajaan perlu ditegur melalui himpunan aman oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum di seluruh negara,” gesanya.

Beliau berkata, PAS bersama rakan-rakan dalam PN akan menggerakkan seluruh rakyat Malaysia untuk turun menyertai himpunan mega bagi membantah akta itu sekiranya kerajaan masih enggan mendengar pandangan PAS serta pelbagai pihak.

“Butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang serta mantan Menteri Alam Sekitar dan Air itu. – HARAKAHDAILY 27/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -