Syor sisa sawit diguna untuk industri cendawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak), mencadangkan agar sisa tandan kosong kelapa sawit (EFB) dimanfaatkan sebagai bahan alternatif dalam penanaman cendawan, susulan kenaikan kos habuk kayu getah dan kekurangan bekalan media bongkah.

- Advertisement -

Beliau berkata, penggunaan EFB bukan sahaja dapat menurunkan kos pengeluaran cendawan, tetapi juga membantu mengurangkan pembaziran sisa industri sawit yang banyak dihasilkan setiap tahun.

“Apakah langkah strategik kementerian perladangan dan komoditi bagi memanfaatkan tandan kelapa sawit yakni EFB sebagai bahan alternatif untuk memastikan kelangsungan pengeluaran cendawan negara serta mengurangkan pembaziran sisa industri sawit?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, EFB mempunyai pelbagai potensi penggunaan termasuk sebagai bahan api, bahan pembuatan kertas, bekas makanan mesra alam dan lain-lain, bergantung kepada permintaan pasaran.

“Cadangan daripada Pasir Salak ini amat penting juga kerana ia berkaitan dengan keterjaminan makanan. Segala proses bergantung kepada rundingan antara pihak industri.

“Namun Kementerian Perladangan dan Komoditi bersedia memfasilitasi supaya permintaan dan penawaran dapat bertemu,” katanya.

Dalam soalan asal, Jamaludin minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan adakah kementerian bercadang merangka mekanisme pasaran bagi menyokong pemprosesan sisa sawit sebagai produk komersial untuk memperkukuh ekosistem agrokomoditi negara. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -