
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk merangka satu strategi jangka panjang yang lebih konkrit bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan kerjaya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terjamin selepas mereka menamatkan perkhidmatan.
Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, kursus peralihan sedia ada yang dikendalikan selama enam bulan hingga setahun di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.
Ujarnya, anggota tentera memiliki kemahiran khusus untuk peperangan dan tidak mempunyai pendedahan kepada bidang lain, menyebabkan mereka sukar untuk beralih ke alam pekerjaan awam.
“Apa yang membimbangkan saya sekarang ini, setahun lebih kurang 6,000 anggota tentera berhenti pada usia purata 40 tahun, ketika anak-anak masih bersekolah.
“Pada umur itu, minat untuk belajar (kemahiran baharu seperti TVET) mungkin sudah berkurangan. Jadi soalan saya, apakah perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk sejumlah besar pesara ini?
“Apakah program kerjaya kedua yang lebih mapan dan berjangka panjang yang boleh ditawarkan kepada mereka?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian menyedari bahawa setiap anggota ATM yang menamatkan perkhidmatan mempunyai kepakaran dan tahap disiplin cukup tinggi dan ia merupakan satu kelebihan.
Menurutnya, cabaran utama bukanlah soal ketiadaan kemahiran, tetapi bagaimana untuk menyusun dan menyelaraskan keupayaan mereka dengan keperluan di kementerian lain mahupun pihak swasta.
“Sebenarnya disiplin adalah antara kepakaran yang cukup tinggi. Sebab itu kita di Kementerian Pertahanan berkolaborasi dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan MARA, di mana veteran kita menjadi warden asrama,” katanya.
Terdahulu, dalam soalan asalnya, Khlir meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah strategi jangka panjang Kerajaan untuk memastikan veteran ATM berkemahiran tinggi terus menyumbang kepada industri keselamatan atau awam selepas bersara, supaya bakat pertahanan negara dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











