
KUALA LUMPUR: Kerajaan empat negeri (SG4) yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebulat suara menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadual dibentang untuk bacaan kedua di Parlimen esok, 27 Ogos.
Kenyataan itu dibuat bersama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Mereka menegaskan penolakan itu dibuat kerana URA dijangka memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.
Mereka menyatakan, sekiranya diluluskan, RUU itu akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Kenyataan itu menyebut, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] sudah jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
“Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan URA turut dibimbangi boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi sedia ada dalam bandar, khususnya kaum Melayu dan bumiputera.
Tambah mereka, URA tidak memperincikan mekanisme pampasan serta perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan ia menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama Bumiputera di kawasan bandar.
“Negeri-negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, URA berisiko mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar yang akhirnya menjejaskan keharmonian negara,” jelasnya.
Kenyataan itu menegaskan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, sudah memadai.
Ia menurutnya undang-undang itu sudah memadai untuk menangani isu berbangkit berhubung pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran bandar dengan penambahbaikan sewajarnya tanpa perlu mewujudkan URA.
“(Sehubungan itu), Negeri-negeri SG4 dengan ini menolak Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (Urban Renewal Act),” tegas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











