RUU URA 2025: Sila tangguh bacaan kedua

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak agar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar segera menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA 2025) yang dijadualkan berlangsung pada esok, 27 Ogos. RUU yang dibentangkan baru-baru ini dilihat sungguh tergesa-gesa sehingga bukan sahaja mendapat bantahan daripada pihak pembangkang, malah turut tidak mendapat restu keseluruhan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan.

RUU yang dibentangkan ini perlu ditangguhkan dan dikaji semula kerana dalam bentuk sedia ada, ia mengundang kebimbangan serius kepada rakyat Selangor kerana negeri ini mencatatkan antara kadar urbanisasi tertinggi di Malaysia, dengan kepadatan penduduk yang semakin meningkat, malahan harga rumah yang melambung tinggi serta jurang sosial yang semakin melebar.

Lebih membimbangkan di Selangor, terdapat lebih ramai penyewa untuk rumah kos rendah berbanding pemilik sebenar. Statistik tidak rasmi menunjukkan lebih 70 peratus unit rumah kos rendah di bandar-bandar utama Selangor seperti Subang, Petaling Jaya dan Ampang dihuni oleh penyewa dan bukannya pemilik. Jika projek pembangunan semula dipaksa, ribuan keluarga berpendapatan rendah akan diusir keluar tanpa jaminan penginapan alternatif membuatkan risiko gentrifikasi semakin parah di bandar Selangor.

- Advertisement -

Bukan itu sahaja, projek pembangunan semula akan memberi ruang besar kepada pemaju menaikkan harga hartanah. Golongan miskin bandar bakal dipinggirkan, sementara hanya kelas menengah dan tinggi akan mampu memiliki rumah baharu. Ini akan mempercepatkan proses ‘menghalau orang miskin keluar dari bandar’ (social cleansing). Hal ini kerana nilai ambang persetujuan terlalu rendah iaitu hanya 80 peratus untuk bangunan berusia 30 tahun kebawah. Bangunan yang berusia 30 tahun keatas pula hanya memerlukan 75 peratus persetujuan dan 51 peratus persetujuan untuk bangunan usang. Tiada negara yang menetapkan nilai ambang serendah ini.

Rakyat juga bimbang dengan kuasa Menteri yang terlalu luas sehingga boleh mengancam tanah rizab Melayu di Selangor. RUU ini memberi kuasa kepada Menteri untuk mengisytihar kawasan pembaharuan semula bandar, sekaligus berpotensi mengganggu urusan kerajaan negeri serta status tanah rizab Melayu di Selangor. Lebih mengerikan, berdasarkan Seksyen 31 Akta ini, tiada tindakan mahkamah dapat diambil untuk mencabar pelaksanaan akta ini kelak kerana ia dilindungi Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Jelas, manfaat RUU URA 2025 ini lebih berpihak kepada pemaju berbanding rakyat. Kerajaan sepatutnya mencari solusi untuk negeri Selangor yang sudah pun berdepan dengan masalah lambakan projek mewah tidak terjual, bahkan rakyat pula terbeban mencari rumah mampu milik. RUU ini hanya akan membuka ruang lebih luas untuk pemaju kaya mengaut keuntungan, bukannya menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berpendirian:

I. Bacaan kali kedua RUU URA 2025 perlu ditangguhkan sehingga semua pemegang taruh berkaitan Rang Undang-undang ini berpuas hati dengan mekanisme yang mahu dilaksanakan

Ii. RUU URA 2025 ini perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk diteliti semula khususnya isu ambang persetujuan, hak penyewa, serta kesan sosial.

Iii. Dasar yang mahu diperkenalkan kelak mestilah menjamin hak rakyat terutama di Selangor, khususnya pemilik rumah kecil, penyewa kos rendah, dan mempertahankan tanah rizab Melayu daripada dimanipulasi oleh pemaju.

Sekali lagi ditegaskan, RUU URA 2025 tidak boleh diteruskan tanpa penelitian mendalam. Jika tidak, ia akan menjadi punca ketidakstabilan sosial, pengusiran golongan miskin bandar, dan menggadaikan hak rakyat demi keuntungan pemaju besar. Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak Menteri KPKT menangguhkan bacaan kali kedua RUU ini demi keadilan untuk rakyat.

ABDUL BASITH ABDUL HALIM
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -