
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi jaminan terhadap pelaksanaan Jualan Rahmah di seluruh negara agar tidak menjejaskan periuk nasi peniaga kecil dalam sektor peruncitan menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan.
Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, biarpun ramai golongan itu menyatakan hasrat untuk bersama-sama menyokong MyKasih, namun kerajaan menerusi agensi terbabit dilihat melengah-lengahkan permohonan tersebut.
Beliau menaruh harapan agar kerajaan merangka perancangan komprehensif termasuk kerjasama rentas kementerian terlibat selain melakukan pemantauan terhadap perkembangan jualan peniaga kecil selepas inisiatif itu dibuat.
“Apakah jaminan kementerian bahawa pelaksanaan Jualan Rahmah ini tidak akan mematikan ekosistem peniaga kecil dalam jangka panjang dan adakah kementerian akan membuat pemantauan berterusan termasuk data jualan mereka.
“Apakah bentuk sokongan sama ada dalam bentuk subsidi bersasar, bantuan rantai bekalan yang akan diberikan kepada peniaga kecil yang terjejas ini agar mampu bersaing dengan dalam persekitaran harga rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ramanan Ramakrishnan dalam jawapannya berkata, kerajaan menyediakan platform atas talian bagi membantu peniaga kecil sektor peruncitan yang terjejas.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan aplikasi TikTok Studio bagi menyediakan wadah kepada golongan itu untuk mengiklankan produk dan perusahaan masing-masing secara langsung secara percuma sehingga Disember 2025.
Malah kerajaan turut menyediakan pembiayaan secara percuma seperti platform jualan digital MyMall yang menarik penyertaan memberangsangan dalam kalangan usahawan tempatan untuk mempromosikan produk yang dihasilkan.
“Ini bagi pemasaran sebagai satu alternatif ‘as a market place’ bagi peniaga-peniaga dan juga penjaja kecil, pencapaian bagi tahun 2024 telah mendaftarkan usahawan seramai 1,316 dengan nilai jualan berjumlah RM6.5 juta.
“Pada tahun ini sehingga Ogos, kita telah mendaftar 2,402 usahawan dengan nilai jualan hampir RM15 juta, jadi ada peningkatan dan program disediakan ini untuk bantu usahawan meniagakan produk secara percuma,” katanya.
Dalam soalan asal, Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai memohon pertimbangan kerajaan terhadap keluhan peniaga kecil mendakwa jualan semakin merosot akibat pelaksanaan SARA dan Jualan Rahmah.
Beliau turut bertanya mengenai langkah mitigasi bagi memastikan kelangsungan peniaga kecil tidak terjejas dalam usaha membantu pengguna mendapat barangan keperluan harian. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











