Laporan PAC: Kena ambil balik duit yang hilang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) menegaskan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak harus sekadar membentangkan laporan kerugian projek kerajaan tanpa disusuli tindakan perundangan terhadap pihak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Beliau yang mengambil bahagian dalam perbahasan laporan PAC di Dewan Rakyat hari ini menyatakan kekecewaan kerana kerugian berjumlah ratusan juta ringgit hanya dicatatkan sebagai rekod, tanpa ada usaha mengembalikan semula wang rakyat.

“PAC bentang laporan yang cukup luar biasa. Tetapi persoalannya, bila kerugian RM217 juta ini berlaku, tiada siapapun yang diambil tindakan. Begitu juga kerugian RM14 juta di Balai Polis Taman Desa. Rakyat tidak mahu sekadar mendengar angka kerugian, sebaliknya mahu kerajaan ambil balik duit yang hilang,” tegas beliau.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu turut membangkitkan isu penjualan tanah kerajaan yang dilaporkan telah dibuat tanpa mematuhi peraturan sebenar.

“Contoh di Kampung Bohol, nilai tanah sepatutnya RM217 juta, tetapi hanya dibayar RM81 juta. Siapa yang turunkan harga ini? Sepatutnya tanah kerajaan dijual ikut harga pasaran RM300 juta. Kalau nak buat pembangunan, kos boleh ditolak kemudian, bukannya turunkan harga sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata, penilaian tanah kerajaan tidak boleh dibuat berdasarkan keputusan jawatankuasa tertentu yang bertindak ‘pekak’ terhadap bantahan rakyat.

“Seramai 1,275 penduduk menentang projek di Kampung Bohol. Apakah suara rakyat ini tidak didengar? Pembangunan ini untuk siapa? Jika untuk rakyat, suara mereka mesti diambil kira,” ujarnya.

Shahidan turut menggesa kerajaan supaya meneliti semula arahan penjualan tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan yang dilaporkan berlaku secara berleluasa termasuk tanah simpanan balai polis.

“Tanah di Taman Desa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis sudah bantah, tetapi jawatankuasa tetap luluskan. Apa punca kuasa jual tanah ini? Adakah kerajaan benar-benar arahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) jual semua tanah semata-mata kerana kerajaan perlukan hasil? Saya tidak pernah dengar arahan sebegitu,” katanya lagi.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengambil semula tanah yang dijual dengan harga tidak munasabah dan menuntut kembali kekurangan nilai yang sepatutnya diperoleh.

“PAC jangan hanya jadi jawatankuasa terakhir tempat rakyat bergantung, tetapi mesti bertindak lebih tegas. Jangan hanya catat rugi, tapi cadangkan tindakan serta-merta,” tegasnya sambil menyifatkan langkah tender terbuka adalah jalan terbaik bagi mengelakkan manipulasi harga tanah. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -