
KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), mencadangkan kerajaan menyerap semula peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ke dalam panel Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Rang Undang-undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana peguam YBGK mempunyai pengalaman luas serta telah lama berkhidmat memberi khidmat kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Jangan dihapuskan secara total peranan yang dimainkan YBGK. Sebaiknya, seraplah peguam YBGK sedia ada ke dalam panel JBG kerana mereka sudah terlatih, berkhidmat dan juga komited serta telah lama menjalankan kerja-kerja kebajikan ini sejak sekian lama.
“Jadi ini bukan soalnya mana-mana pihak tetapi tentang soal keberkesanan sistem keadilan di negara kita,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurutnya, pengenalan perkhidmatan pembelaan awam adalah inisiatif baik kerana memberi akses kepada keadilan, khususnya dalam kes jenayah.
“Ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk memastikan ada akses keadilan buat mereka yang kena tuduh begitu juga dengan terdapatnya jawatan baru bagi jawatan ketua pembelaan awam dan juga pegawai pembelaan awam.
“Ia akan diwujudkan secara rasmi oleh yang berhormat menteri bagi mengendalikan perkhidmatan ini. Ia melihat bahawa ini adalah tepat pada masanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











