
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi diminta menyatakan usaha bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mencari pekerjaan malah mampu menawarkan peluang tersebut kepada komuniti sekeliling.
Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) turut mempersoalkan komitmen kerajaan hari ini untuk menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut sementara mendapat atau berjaya mewujudkan perusahaan yang lebih baik.
“Apakah strategi kerajaan melahirkan graduan yang kalis masa depan dari segi pekerjaan, tetapi menjana idea, bukan sekadar nak cari kerja tetapi nak mencipta peluang pekerjaan, jadi apa dasar kerajaan ke arah itu.
“Saya nak bagi sedikit aduan mahasiswa, ramai yang susah sekarang ini mereka tak ada masa nak cari pekerjaan baru dan sebagainya, apa bentuk bantuan yang diberikan kerajaan melegakan kesengsaraan ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan di Dewan Rakyat di sini hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, kerajaan sudah mempunyai perangkaan bagi mencapai tujuan terbabit.
Malah beliau berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu dibangkitkan dan akan menukar haluan dan pendekatan dalam pelan strategik Kementerian Pengajian Tinggi daripada ‘job seeker’ kepada ‘job creator’.
“Ini yang seperti yang kita sedia maklum dalam keadaan sekarang ini, jawatanlah daripada even peringkat dalam perkhidmatan awam dan swasta ni semakin ‘limited’.
“Jadi kita kena pastikan bahawa Mahasiswa kita ni yang kita lahir kena bukan sahaja boleh bekerja tetapi mereka mencipta pekerjaan, jadi itu yang kita cuba buat peringkat universiti,” katanya.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, institusi pengajian awam dan swasta turut menawarkan subjek berkaitan keusahawanan bagi mewujudkan minat dalam diri mahasiswa terhadap sektor yang semakin berkembangan itu.
Malah pihaknya turut memberi galakan kepada golongan tersebut agar menyertai kursus ‘short course’ di institusi masing-masing bagi mencapai hasrat yang diimpikan melahirkan graduan mampu menjana pekerjaan.
“Ini akan memastikan mereka apabila mereka berada di dalam pekerjaan sebenar, tiada ‘niche add value’ kepada ijazah mereka, jadi kita harap yang ini akan dapat memastikan dapat kerja lebih cepat lagi,” katanya.
Dalam soalan asal Wan Ahmad Fayshal meminta kerajaan menyatakan perancangan dan peranan Majlis Penasihat Industri Universiti dalam menyusun kurikulum berorientasikan pekerjaan. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











