Roh asal YBGK terhakis, kuasa menteri dipersoal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang dibimbangi memberi kuasa terlalu besar kepada menteri.

- Advertisement -

​Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, ia sekali gus menghakis roh asal Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk menyediakan akses percuma kepada keadilan.

Katanya, beberapa seksyen dalam RUU tersebut dilihat regresif dan meletakkan kuasa mutlak di tangan menteri dalam menentukan kelayakan pemohon, kadar bayaran peguam, hingga kepada proses rayuan.

​Menurut beliau, Seksyen 23(1)(b) yang meletakkan ‘ujian kemampuan’ pemohon di bawah kriteria ditetapkan oleh menteri adalah satu langkah tidak telus.

​“Persoalan paling utama, mengapa ujian kemampuan ini diletakkan di bawah kuasa menteri dan bukan di bawah satu badan atau mekanisme bebas bagi menjamin ketelusan?

​“Mekanisme yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan seperti mengambil kira faktor pendapatan boleh guna pemohon itu sendiri,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

​Beliau turut mempersoalkan kuasa menteri yang begitu besar dalam hal-hal lain, termasuk penetapan fi, sumbangan pemohon, dan tindakan disiplin terhadap peguam panel yang semuanya bergantung kepada budi bicara menteri.

​Sebagai contoh katanya, Seksyen 67 memberikan kuasa kepada menteri untuk memutuskan rayuan terhadap apa-apa keputusan Ketua Pengarah atau Ketua Pembela Awam secara muktamad.

​“Sepatutnya adalah lebih baik jika proses rayuan dikendalikan oleh satu badan bebas bagi menjamin semak dan imbang yang telus,” katanya.

​Selain itu, beliau menyifatkan peruntukan di bawah Seksyen 13 dan 19 yang memerlukan fi atau sumbangan dibayar oleh pemohon sebagai satu langkah regresif yang bercanggah dengan semangat asal YBGK.

​“Jika rang undang-undang ini untuk membantu rakyat mendapatkan khidmat guaman, maka inilah satu langkah yang agak regresif. Tiada lagi saluran alternatif untuk rakyat marhaen mendapatkan bantuan guaman secara percuma,” ujarnya.

​Che Mohamad Zulkifly juga menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penekanan khusus kepada pengalaman, kemahiran, dan latihan berterusan bagi peguam panel di bawah Seksyen 7 dan 8.

​“Kelemahan ini menjadikan kita khuatir RUU ini akan melahirkan panel peguam yang tidak konsisten, malah mungkin ada yang sekadar masuk untuk dapatkan elaun tetapi tanggungjawab guaman dibuat secara ala kadar sahaja.

​“Berbanding YBGK yang lebih fokus pada pemantauan prestasi dan latihan, RUU ini pula hanya menekankan hukuman seperti memotong nama peguam dari panel,” jelasnya.

​Kata Che Mohamad lagi, rakyat tidak mementingkan penjenamaan semula, sebaliknya mahukan jaminan pembelaan yang sewajarnya di muka pengadilan.

​“Pastikan roh asal YBGK dikekalkan, iaitu menjamin akses rakyat untuk mendapatkan khidmat guaman dan pembelaan yang walaupun percuma, tetapi berkualiti, telus, dan bebas daripada pengaruh politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -