
MIRI: Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Jofri Jaraiee menegaskan tindakan tegas, segera dan berkesan mesti diambil bagi menangani isu buli di sekolah mahupun dalam masyarakat.
Beliau berkata, tragedi menimpa Zara Qairina Mahathir seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa kes buli tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani tanpa sebarang kompromi.
“Kami menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak pentadbiran sekolah, dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan setiap pelaku buli dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang serta peraturan disiplin sekolah,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurutnya, keselamatan, kesejahteraan dan maruah pelajar mesti sentiasa menjadi keutamaan, selain pendidikan sivik dan agama perlu diperkasakan untuk memupuk akhlak mulia, sikap saling menghormati, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap orang lain.
“Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, kondusif, dan bebas daripada segala bentuk keganasan serta buli,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa dan komuniti memainkan peranan aktif bagi mewujudkan persekitaran sihat dan selamat untuk anak-anak, manakala kesedaran serta kerjasama semua pihak adalah kunci membanteras budaya buli dari akar umbi.
Katanya lagi, isu buli bukan sahaja berlaku di sekolah, malah turut wujud dalam masyarakat yang lebih luas, khususnya apabila pembangunan tidak seimbang menyebabkan rakyat biasa menjadi mangsa.
“Apabila pembangunan tidak seimbang, rakyat biasa sering menjadi mangsa yang kaya bertambah kaya manakala yang miskin terus terperangkap dalam kemiskinan. Ini juga adalah satu bentuk ‘buli’ yang mesti diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa,” gesanya.
Menurutnya, antara bentuk buli dalam masyarakat yang perlu diberi perhatian ialah ketidakadilan dalam pemberian peruntukan, selain geran tanah diluluskan bukan kepada pemohon layak, tetapi mereka mempunyai kepentingan tertentu.
“Perbuatan ini bukan sahaja menafikan hak rakyat, malah merosakkan keadilan serta menghakis kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa,” tempelaknya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar pihak berkuasa tidak berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti bersalah melakukan perbuatan buli, sama ada di sekolah mahupun dalam masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama memastikan masa depan anak-anak kita terjamin dalam suasana aman, cerah dan penuh rasa hormat,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











