Slogan ‘Kami Anti Buli’ sahaja tidak selesai masalah

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Masalah buli tidak akan selesai hanya dengan laungan ‘Kami Anti Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan atau dengan membuat garis panduan buli semata-mata.

- Advertisement -

​Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, untuk menyelesaikan isu buli secara menyeluruh, ia memerlukan gabungan pendidikan, pemantauan, penguatkuasaan dan sokongan emosi secara serentak.

​“Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik perlu menjadi mata pelajaran wajib untuk semua pelajar dengan silibus yang mengandungi nilai hormat sesama pelajar, toleransi dan empati.

​“Selain itu, program bengkel atau seminar berkala perlu diadakan untuk mendidik pelajar berkenaan empati, kawalan emosi dan cara menyelesaikan konflik sesama pelajar tanpa keganasan,” katanya.

​Anas turut mencadangkan langkah pemantauan yang lebih ketat termasuk pemasangan Televisyen Litar Tertutup (CCTV) di kawasan seperti kantin, belakang blok atau kawasan terlindung.

“Rondaan guru juga perlu dipertingkatkan, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti tandas dan stor,” saran Anas.

​Bagi aspek penguatkuasaan dan laporan, beliau mencadangkan agar setiap sekolah mewujudkan kotak aduan berkunci yang perlu diperiksa oleh petugas setiap minggu atau menyediakan aplikasi mudah alih berpusat bagi menerima laporan rahsia (whistleblower system).

​“Menubuhkan Pusat Pemprosesan Aduan Buli berpusat di setiap daerah di Pusat Kegiatan Guru yang sedia ada. Pusat aduan bersepadu ini perlu menempatkan kaunselor bertauliah dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya lagi.

​Dengan kaedah itu ujarnya, aduan berkaitan buli akan dapat diurus secara profesional, cepat dan adil, bukan sahaja melibatkan aspek kaunseling dan pemulihan, tetapi juga penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keseriusan masalah ini ditangani dengan segera.

​Anas menambah, dengan adanya pusat aduan luaran yang neutral dan berautoriti, pelajar dan ibu bapa akan lebih berani untuk melapor kes buli kerana mereka tahu aduan mereka tidak akan terhenti di peringkat sekolah semata-mata.

​“Setiap aduan yang diterima mesti mempunyai rekod status; diterima, disiasat, intervensi, tindakan disiplin (undang-undang) atau pemulihan, selesai atau didakwa di Mahkamah kanak-kanak.

​“Pusat Pemprosesan Aduan Buli ini wajib menghantar laporan setiap bulan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, laporan ini boleh dijadikan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pengurusan sekolah,” tegasnya.

Justeru Anas berkata, agar cadangan tersebut, dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan sebagai langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, harmoni dan bebas daripada budaya buli. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -