
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim khas ‘Ibu Bijaksana’ sebagai sokongan kepada ibu muda dan suri rumah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam fasa keibuan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Malaysia itu berkata, negara bukan sahaja memerlukan kadar kelahiran yang tinggi, malah dalam masa sama memerlukan ibu-ibu bijaksana.
“Dalam konteks persaraan, pelan tindakan dasar wanita yang disebutkan serta penggubalan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan skim ‘Ibu Bijaksana’.
“(Ia) bagi memberikan sokongan kepada ibu muda dan suri rumah untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam fasa keibuan,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mumtaz berkata, sebagai tambahan kepada insentif cukai yang pernah dibangkitkan, kerajaan wajar mempertimbangkan insentif cukai khusus kepada pasangan yang menyokong isteri menyambung pelajaran.
“Cadangan saya ialah insentif cukai kepada pasangan dan juga pelepasan cukai pendidikan untuk suami yang menyokong isteri sambung belajar.
“(Ia) atau pelepasan bersama kos penjagaan anak menerusi _‘parenthood tax rebate’_ supaya ia benar-benar menjadi dasar yang praktikal dengan sokongan kerajaan, suami dan keluarga,” cadangnya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan garis masa jelas pelaksanaan program ‘re-entry’ bagi wanita yang bercadang kembali bekerja selepas melalui fasa keibuan.
“Bilakah _‘timeline’_ jelas program _‘re-entry’_ untuk golongan ini, dan berapakah sasaran ditetapkan menjelang 2030? Kita lihat hari ini umur persaraan mungkin akan meningkat kepada 65 tahun.
“Kalau mereka ini bersalin ketika umur 30 tahun, mereka masih mempunyai 35 tahun untuk kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam jawapannya memberitahu, kementeriannya sentiasa menyokong wanita untuk kembali bekerja dengan perlindungan Akta Kerja 1955 termasuk cuti bersalin 98 hari dan pelepasan cukai.
Menurutnya, majikan digalakkan menyediakan taska di tempat kerja dengan insentif pelepasan cukai, manakala wanita berusia 18 hingga 35 tahun menerima pelbagai insentif kewangan.
Tambahnya, cadangan tambahan akan dibincangkan bersama kementerian berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan.
Mumtaz dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah bentuk sokongan, biasiswa dan persekitaran yang disediakan Kerajaan bagi membolehkan suri rumah menyambung pengajian.
Ia katanya sehingga ke peringkat PhD dan polisi atau dasar pekerjaan yang mesra kepada ramai wanita dalam usia pertengahan 30-an yang telah melalui fasa awal keibuan dan bersedia kembali berkerjaya apabila anak-anak memasuki alam persekolahan. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











