
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan liputan rangkaian termasuk 5G tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya diperluas secara menyeluruh hingga ke luar bandar dan pedalaman.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, walaupun U-Mobile diberi sasaran mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang pertengahan 2026, kebimbangan timbul sekiranya syarikat itu lebih menumpukan kawasan bandar sahaja.
“Jadi apakah langkah kerajaan untuk memastikan U Mobile ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sedangkan Digital Nasional Bhd (DNB) ditugaskan meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta penjelasan berhubung Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digunakan bagi menilai kejayaan liputan oleh pengendali rangkaian, sama ada ia seragam atau berbeza mengikut syarikat.
“Apakah indikator ataupun KPI khusus yang digunakan oleh pihak kementerian untuk menilai kejayaan liputan pengendali
rangkaian ini termasuklah 5G yang diuruskan oleh DNB dan juga U-Mobile.
“Adakah KPI tersebut sama dari sudut kedua-duanya ataupun ada perbezaan?” soalnya.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, piawaian kualiti perkhidmatan telah ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan tahap minimum dipatuhi.
Katanya, bermula 1 Januari tahun ini, purata kelajuan muat turun yang ditetapkan adalah tidak kurang daripada 10 Mbps, berbanding 7.7 Mbps sebelum ini.
“Selain itu, kadar kehilangan paket tidak boleh melebihi 0.5 peratus, tahap kebolehcapaian perkhidmatan tidak kurang daripada 90 peratus, manakala tempoh purata memuat turun sesawang tidak melebihi lima saat. Bagi penstriman video pula, masa untuk mula dimainkan tidak boleh melebihi enam saat,” katanya.
Beliau berkata, KPI khusus turut ditetapkan kepada U-Mobile dan MCMC akan mengambil tindakan sekiranya syarikat berkenaan gagal mencapai sasaran yang telah ditentukan. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











