
KUALA TERENGGANU: Penganjuran program RXZ Member 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung, sekali gus memberi limpahan besar kepada ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, selain hadir menyertai program itu, kebanyakan pengunjung menetap lebih lama di negeri ini iaitu antara tiga hingga empat hari.
Beliau berkata, walaupun jumlah sebenar sukar dipastikan, anggaran pulangan hasil daripada perbelanjaan pengunjung boleh mencecah jutaan ringgit.
“Kalau kita kira, sekiranya 100,000 pengunjung membelanjakan sekitar RM100 hingga RM500 seorang, jumlahnya mungkin mencecah puluhan juta ringgit. Ada yang belanja besar, ada yang sederhana, jadi angka ini mungkin lebih tinggi lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur yang menganjurkan pelbagai program seperti RXZ permotoran, kereta dan seumpamanya yang berjaya menarik minat orang ramai datang ke Terengganu sekali gus memeriahkan suasana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal, Hotel Paya Bunga, di sini semalam.
Menurut Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, program itu memberi kesan langsung kepada para usahawan tempatan.
“Geng motor ini, kalau sebut Terengganu, setiap motor seolah-olah wajib bawa seekor penyu di belakang. Jadi peniaga terutama di Pasar Payang memang menjadi tumpuan utama.
“Homestay dan hotel kita juga penuh untuk sehari dua ini, malah hari ini pun masih ada yang menginap kerana pengunjung dari Pantai Barat hari ini mereka masih cuti. Walaupun program berakhir semalam, kedai-kedai masih dipenuhi geng RXZ,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan maklum balas peniaga tahun lalu, setiap program seumpama itu diadakan, pengunjung pasti membanjiri kedai makan, pasar, inap desa, Pasar Payang, KTCC, Mayang Mall dan lokasi tumpuan lain sehingga memberi limpahan besar kepada ekonomi negeri.
Menurut beliau, program berskala besar seperti RXZ Member secara tidak langsung juga menyokong lebih 15,000 usahawan kecil berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), selain lebih 20,000 peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – HARAKAHDAILY 25/8/2025











