
KUALA TERENGGANU: Setiausaha Politik Menteri Besar, Ustaz Mohd Soud Said menyifatkan tuduhan dibuat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan penganjur mengenai wujudnya ‘pasukan sorak MB Terengganu’ adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
Beliau berkata, individu-individu yang berada di barisan hadapan pentas adalah rakyat biasa, peminat permotoran yang menolak usaha mempolitikkan acara ini, bukannya pasukan di bawah arahan sesiapa.
“Sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang tidak suka melihat acara santai seperti ini dijadikan bahan catur politik elit. Mereka hadir untuk menikmati suasana, meraikan semangat komuniti.
“Di saat masyarakat setempat ada yang sanggup menyediakan penginapan percuma, minyak percuma dan makanan percuma demi memastikan tetamu luar disambut meriah.
“Tohmahan yang mengatakan mereka pasukan sorak Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hanya bertujuan mengalih tiang gol dan menyorok malu diri sendiri akibat ditolak peminat permotoran dan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Menteri Besar sentiasa memberikan sokongan kepada penganjuran acara yang bermanfaat kepada rakyat melalui penyediaan fasiliti, promosi dan bantuan keselamatan.
“Fitnah dan manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, pengucapan Shamsul pada program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, ditenggelami dengan laungan ‘boo’ dan ‘baliklah’ oleh peminat permotoran serta diiringi deruman ekzos motosikal oleh seorang peserta.
Difahamkan, suasana itu tercetus kerana golongan muda tidak senang melihat politik cuba diselitkan dalam acara yang menjadi minat dan jiwa mereka. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











