
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan pendirian menolak sekeras-kerasnya cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, penolakan terhadap RUU itu bukan sahaja datang daripada barisan pembangkang Perikatan Nasional (PN), malah turut disuarakan beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan.
“Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi melalui surat rasmi bertarikh 20 Ogos 2025 turut menggesa agar bacaan kali kedua ditangguhkan sehingga semua isu yang timbul dalam sesi libat urus baru-baru ini dapat diselesaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara isu utama ialah ambang persetujuan yang tidak munasabah, apabila cadangan menetapkan ambang 70 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan bawah 30 tahun adalah jauh lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa.
“Sebagai perbandingan, Hong Kong menetapkan 90 peratus manakala Singapura 80 peratus. Malah, Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sendiri turut mendesak agar ambang tersebut dinaikkan kepada 85 peratus demi menjamin hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah,” dedahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Perak itu berkata, RUU itu juga bercanggah dengan beberapa undang-undang utama negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata serta Akta Pengambilan Tanah.
“Sebagai contoh, tafsiran mengenai Pihak Berkuasa Negeri bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam RUU ini meletakkan kuasa tersebut di bawah Menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas kerajaan tempatan, dan bukannya Yang di-Pertuan Agong.
“Persoalan besar timbul, mengapakah peruntukan tersebut seolah-olah mengetepikan dan mengambil alih peranan Yang di-Pertuan Agong di Wilayah-wilayah Persekutuan?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan satu perhimpunan aman di pekarangan Parlimen pada esok, 26 Ogos sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan bacaan kali kedua RUU Pembaharuan Semula Bandar berkenaan.
“Pemuda PAS Malaysia menuntut agar Kerajaan tidak meneruskan pembentangan RUU ini kerana ia berpotensi membuka ruang kepada penindasan secara halus terhadap rakyat, khususnya golongan miskin bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











