Proaktif tangani eksploitasi seks kalangan pelajar

Norsah Bongsu
- Advertisement -

TAWAU: Pihak terbabit perlu bertindak lebih proaktif dan tegas terhadap eksploitasi seks dalam kalangan pelajar tanpa menunggu laporan daripada mangsa semata-mata.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menyeluruh, termasuk menjalankan siasatan rapi agar kes yang berlaku di Keningau, baru-baru ini tidak menular ke daerah lain.

Beliau turut mencadangkan agar mangsa diberi perlindungan, rawatan, serta pemulihan psikologi.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu memantapkan pengawasan terhadap aktiviti tidak bermoral yang beroperasi melalui media sosial dan hotel-hotel bajet.

“Sewaktu perhatian orang ramai terhadap pembelaan kes Allahyarham Zara Qairina, mungkin tidak ramai yang mengambil perhatian kepada berita tumpasnya sindiket pelacuran yang melibatkan pelajar sekolah oleh polis daerah Keningau baru-baru ini.

“Lebih memeranjatkan apabila salah seorang ‘ibu ayam’ adalah remaja baru berumur 18 tahun. 

“Percayalah aktiviti dalam kalangan pelajar sekolah tersebut pasti wujud di daerah lain di negeri ini, mungkin dalam kaedah yang berlainan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, walau apapun kaedahnya, ia menunjukkan generasi muda sekarang sedang tenat dan perlu segera dirawat. 

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan dua pelajar Tingkatan Dua dieksploitasi oleh sindiket pemerdagangan manusia sebagai mangsa seks untuk dilacurkan kepada pelanggan.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut remaja perempuan termasuk dua yang baru berusia 14 tahun berkenaan untuk dilacurkan dengan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun disyaki bertindak sebagai ibu ayam.

Katanya, remaja itu sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Tambahnya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan sebelum mangsa dihantar ke hotel yang ditetapkan.

Justeru, ujar Norsah, masyarakat jangan sesekali menganggap perkara itu isu terpencil kerana ianya sedang menjadi barah yang merosakkan generasi muda.

“Kita rakyat Sabah telah membuktikan, kita boleh bersatu hati menjaga kepentingan anak-anak seperti yang berlaku dalam kes Zara Qairina.

“Maka saya percaya, kita boleh bersatu hati menjadi ibu bapa kepada semua anak remaja agar mereka ini tidak terjerumus dalam kegiatan seumpama ini,” katanya.

Menurutnya, budaya saling menjaga saling menasihati seperti zaman ibu bapa dahulu perlu dihidupkan kembali.

Norsah turut mengingatkan orang ramai, selaku ibu bapa, perlu peka kepada perubahan sikap serta pergaulan anak-anak.

Tambahnya, ibu bapa perlu memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang bahaya grooming seks, tawaran pekerjaan yang tidak jelas dan apa sahaja yang menjurus kepada eksploitasi seumpama ini.

“Semoga Allah memelihara masyarakat dari berlaku kejadian yang lebih parah daripada ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -