
KOTA BHARU: Kerajaan dicadang agar jawatan Ketua Pengarah Bantuan Guaman dan Ketua Pembela Awam dilantik dalam kalangan pegawai syariah sekiranya memenuhi kelayakan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 membangkitkan fasal 3(2) dan 4(2) iaitu pelantikan dua jawatan dalam Jabatan Bantuan Guaman (JBG).
Beliau berkata kerajaan menetapkan kelayakan selain mempunyai kelulusan akademik dalam bidang undang-undang diiktiraf, malah memilik kemahiran praktikal, pengetahuan dan pengalaman dalam kepeguaman dan litigasi.
“Dalam taklimat 21 Ogos 2025 menyebut, jawatan ini adalah terbuka tidak tertakluk kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) saja, oleh itu saya mencadangkan agar jawatan ini dilantik dari kalangan pegawai syariah.
“Dengan pelantikan kepada pegawai syariah untuk menjadi ketua jabatan pada tahap hierarki paling tinggi sebelum ini jawatan ini hanya menjadi Timbalan Ketua Pengarah II sahaja,” katanya dalam sesi perbahasan hari ini.
Beliau turut membangkitkan mengenai luahan pelanggan yang berurusan dengan peguam bernaung di bawah JBG, terlalu sukar ditemui dan berurusan bagi menyelesaikan masalah berbangkit.
Beliau tidak menolak dakwaan bahawa bilangan peguam JBG di negeri-negeri tidak ramai berbanding jumlah masalah atau kes yang hendak dibicarakan di Mahakamah memaksa bekerja lebih masa berbanding penjawat awam lain.
Menurutnya sebahagian pelanggan JBG sudah ‘putus angin’ terhadap perkhidmatan yang ditawarkan sehingga terpaksa menagih khidmat guaman swasta biarpun kadar bayarannya jauh lebih tinggi berbanding kadar ditetapkan kerajaan.
“Saya juga nak sampaikan keluhan ‘client’ JBG kepada saya sebelum ini, peguam JBG sukar ditemui di pejabat untuk perbincangan dengan ‘client’, ini mungkin peguam ini tidak ramai di negeri-negeri dan kendali kes yang banyak.
“Jadi saya harap keluhan ini dapat diberi perhatian selaras dengan RUU yang akan dibentangkan ini, akan dapat menyelesaikan masalah ini antaranya perlu menampakkan bilangan munasabah sama ada sivil atau syarie,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











