
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memberikan garis masa yang jelas mengenai perancangan untuk menandatangani dan meratifikasi beberapa protokol nuklear antarabangsa yang penting bagi memastikan Malaysia benar-benar bersedia dan mematuhi piawaian global.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, walaupun Rang Undang-Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 menekankan pematuhan kepada piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), hakikatnya Malaysia masih belum meratifikasi beberapa konvensyen utama.
“Ini adalah langkah positif, namun hakikatnya Malaysia masih belum menandatangani protokol seperti Convention on Nuclear Safety. Persoalannya, adakah Malaysia sememangnya ‘compliance ready’ atau masih ada jurang pematuhan selepas RUU ini diluluskan?” soalnya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan cadangan melanjutkan tempoh lesen sehingga maksimum 40 tahun berbanding tiga tahun ketika ini, yang diyakini dapat menarik pelaburan besar dalam sektor tenaga nuklear.
Namun, beliau membangkitkan kebimbangan mengenai bagaimana kerajaan akan memastikan kawalan keselamatan sentiasa dikemas kini selari dengan perkembangan teknologi sepanjang tempoh lesen yang panjang itu.
“Teknologi sentiasa berubah. Kerajaan tidak boleh terhalang daripada melakukan sebarang penambahbaikan syarat (keselamatan) dalam tempoh 40 tahun syarikat itu dilesenkan,” tegasnya.
Ahmad Amzad turut mencadangkan agar RUU tersebut mewajibkan pemegang lesen untuk mencarum dalam satu tabung amanah pengurusan sisa radioaktif, dan tidak hanya meletakkannya di bawah budi bicara sebagai syarat lesen.
Menurutnya, model yang dikenakan ke atas Lynas, di mana syarikat itu perlu mencarum dalam dana penyelidikan sebagai syarat penyambungan lesen, wajar diperluas.
“Saya dapati pelbagai kajian seperti torium mengambil masa yang sangat panjang, mungkin kerana kekurangan dana. Dengan cara mengenakan syarat caruman tertentu, ia boleh membantu kerajaan mempercepatkan kajian tanpa perlu menunggu 10 hingga 20 tahun lagi,” katanya.
Beliau juga menyeru kerajaan supaya meningkatkan komunikasi dan pendidikan kepada orang awam bagi menangani kebimbangan dan salah faham berkaitan tenaga nuklear, seperti yang berlaku dalam isu Lynas.
“Rakyat mempunyai psikologi tertentu berkaitan dengan nuklear. Proses ini memerlukan pendidikan dan kefahaman yang bermula daripada peringkat usia muda lagi untuk mempersiapkan rakyat kita menjadi masyarakat yang bersedia untuk berkembang maju dalam teknologi tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











