Kerajaan perlu ada SOP pengurusan krisis lebih teratur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Musoddak Ahmad menegaskan kes melibatkan adik Zara Qairina Mahathir telah menjadi fenomena dalam kalangan rakyat yang mahukan langkah lebih tegas dan jitu daripada pihak kementerian berkaitan.

Beliau berkata, kementerian perlu mempunyai suatu prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis yang terperinci dan teratur termasuk dalam aspek komunikasi isu, bagi memastikan masyarakat awam sentiasa terpimpin mengenai perkembangan sesuatu isu dan krisis.

“Justeru itu, sebagai soalan tambahan saya, apakah kementerian mempunyai suatu SOP pengurusan krisis yang terperinci dan teratur termasuklah dalam aspek pengurusan komunikasi isu supaya masyarakat awam sentiasa terpimpin mengenai perkembangan sesuatu isu dan krisis,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapannya memberitahu, kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu buli dan telah melaksanakan garis panduan sejak awal 2023 bagi memastikan ia ditangani dengan berkesan.

Menurutnya, usaha itu melibatkan pindaan akta, jawatankuasa reformasi, program intervensi serta sokongan psikososial untuk menangani masalah secara lebih komprehensif.

Tambahnya, semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan komuniti setempat digesa berganding bahu memastikan sekolah menjadi institusi yang selamat.

Musoddak dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha terkini yang diambil Kementerian bagi menangani gejala buli semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah mutakhir ini termasuklah dalam kes melibatkan kematian seperti kes adik Zara Qairina. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -