
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mencadangkan supaya Tabung Haji (TH) memperluaskan strategi pelaburannya dengan memberi tumpuan kepada pembelian saham pembangunan bangunan hotel sedia ada, bukan hanya pembelian tanah untuk dibangunkan semula.
Beliau berkata, sebagai institusi kebanggaan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, kehebatan pengurusan TH seharusnya turut diterjemahkan dalam strategi pelaburan aset yang lebih menguntungkan jemaah.
“Cuma saya ingin sebutkan apakah tidak ada ruang supaya pembelian aset ini bukan sekadar membeli tanah dan membangunkan sahaja, buat permulaan untuk memulakannya dengan pembelian saham pembangunan bangunan-bangunan hotel sedia ada.
“Sebab kos pengurusan haji antara yang terbesar ialah yang saya faham mungkin silap ialah terpaksa menyewa hotel yang sebahagian sewaan itu dikira sebagai sewa setahun,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, cadangan itu wajar diteliti dengan kajian mendalam, malah agensi berwibawa juga perlu dilantik untuk menguruskan perkara tersebut.
“Tetapi untuk melantik (agensi) itu janganlah sampai seperti yang pernah berlaku dalam heboh sekarang ini sehingga dilantik tanpa mengikut prosedur yang kita gegarkan iaitu tatakelola yang baik, maksudnya jangan _‘direct’_ pilih-pilih ataupun (tetapi perlu dibuat secara) buka tender terbuka,” jelasnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan usaha pelaburan Tabung Haji memberi manfaat kepada kebajikan serta keselesaan jemaah haji dengan memiliki tujuh bangunan di Makkah dan tiga di Madinah dalam radius satu kilometer.
Menurutnya, cadangan pembelian saham pula memerlukan kajian mendalam dan teliti sebelum diputuskan dan menegaskan tadbir urus Tabung Haji adalah terbaik, mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan berita tidak benar perlu ditolak.
Hussin dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Tabung Haji bercadang untuk menambah aset dengan membeli tanah di kawasan berdekatan Masjidil Haram bagi menambah baik perkhidmatan kepada bakal jemaah Haji Malaysia pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











