Bantuan guaman: Elak ada campur tangan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menegaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 mesti diperkukuh dengan perincian jelas serta jaminan kebebasan daripada campur tangan politik.

- Advertisement -

Beliau berkata, RUU ini amat ditunggu-tunggu rakyat, namun beberapa perkara asas perlu diperhalusi supaya pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Dato’ Mumtaz mencadangkan agar syarat pelantikan Ketua Pembela Awam mensyaratkan pengalaman melebihi tujuh tahun, sebagaimana syarat seorang peguam menjadi ‘master’.

Katanya, hanya dengan pengalaman luas, Ketua Pembela Awam mampu memantau dan memastikan mutu khidmat peguam bawahan serta keadilan kepada anak guam.

Beliau turut membangkitkan kekaburan pada Seksyen 83 mengenai kepakaran pembela awam semasa membahaskan Rang Undang-undang  Bantuan Guaman 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

“Di sini kita nak tahu apakah kriteria yang perlu dimiliki iaitu oleh pembela awam ini sebab tiada perincian jadi kalau boleh minta dinyatakan perincian apakah kelatihan dan kelayakan yang perlu dimiliki oleh pembela awam tersebut,” katanya.

Menyentuh Seksyen 17, beliau mempersoalkan kuasa mutlak Ketua Pengarah dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menerima bantuan guaman.

Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa penilai agar keputusan lebih telus dan adil, kerana ramai kakitangan kerajaan berpendapatan rendah juga tidak mampu membayar guaman.

“Saya dapat banyak aduan daripada orang orang awam bahawa mereka ni walaupun bekerja kerajaan ataupun mereka ni bekerja tapi kadang-kadang mereka tak mampu juga nak nak bayar peguam.

“Dalam hal ini kita cadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa penilai untuk membantu ketua pengarah dalam menilai kelayakan seseorang awam. Kerana kita percaya sebagaimana dalam kes-kes lain ada benda yang dibuat oleh pendaftar ada ‘inquiry’.

“Dalam hal ini juga mereka juga terdedah kepada Seksyen 63 iaitu kalau mereka menipu, tetap mereka ni kena ‘fraud’ tetapi kerana kita percaya bahawa beban akan banyak jadi dengan ahli yang berkuasa ini dapat membantu Ketua Pengarah kita untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,” jelasnya.

Dato’ Mumtaz menegaskan agar kes-kes jenayah terutama permohonan reman diberi keutamaan di mana amalan setakat ini permohonan daripada penjara kepada pihak Jabatan Bantuan Guaman (JBG) adalah sangat lambat.

“Mungkin kerana banyak birokrasi ataupun proses tertentu jadi mereka minta supaya diberikan keutamaan kepada kes-kes reman supaya dapat memberikan keadilan kepada orang yang dibantu,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh kebajikan kanak-kanak tanpa dokumen sah di sempadan Tumpat, Rantau Panjang dan Jeli di mana perlu diwujudkan ‘task force’ bagi membantu mendapatkannya, memandangkan kes mereka sering melibatkan proses guaman yang panjang.

“Kita melihat ramai kanak-kanak, anak warganegara, mereka tidak punya IC, mereka tidak ada surat beranak, kadang-kadang jadi di dalam kes ini mereka merupakan orang yang sangat perlu dibantu kerana ini masa depan negara.

“Saya mencadangkan kepada pihak JBG agar membentuk satu ‘task force’ khas bagi membantu anak-anak, kanak-kanak di bawah sivil dan dicadangkan supaya dimasukkan dalam jadual ini,” jelas beliau.

Bagi memastikan ketelusan, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam yang bebas, bukan bergantung penuh kepada kuasa menteri.

Selain itu, jadual bayaran panel guaman perlu diselaraskan di seluruh negeri supaya tidak berlaku ketidakadilan.

“Dan kita ingin tahu apakah, negara manakah yang kita gunakan model untuk yang kita buat RUU Bantuanan Guaman dan firma awam ini?” soal beliau.

Menyentuh cabaran era digital, Dato’ Mumtaz mengesyorkan JBG menyediakan klinik guaman kecerdasan buatan (AI) yang sahih dan divalidasi agar rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, boleh mendapatkan nasihat guaman asas secara dalam talian.

“Saya mencadangkan bahawa sekiranya dalam keadaan-keadaan lain semua pihak kehakiman dan ‘judiciary’ mereka boleh merujuk kepada latihan daripada ILKAP (Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan).

“Tapi untuk bantuan guaman dan pada awam ini kita tak nampak satu yang proposed sekarang ini, YBGK (Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan) ada silibus satu dua tiga dan empat tapi tidak ada di perincikan dalam hal ini jadi kalau boleh kita cadangkan supaya ada ILKAP untuk JBG,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -