
KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mencadangkan agar keputusan kritikal berkaitan tenaga atom, termasuk pengeluaran lesen nuklear, dibuat secara kolektif melalui panel teknikal bebas, bukannya terletak di tangan seorang individu.
Menurut beliau, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom ketika ini memberi kuasa terlalu besar kepada Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, sekali gus menimbulkan risiko tadbir urus dan keselamatan negara.
“Keputusan penting tidak boleh hanya bergantung kepada seorang individu. Saya cadangkan penubuhan panel bebas atau Majlis Penasihat Tenaga Atom yang mempunyai kuasa untuk ‘endorse’ keputusan, bukan sekadar memberi nasihat,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, banyak negara lain telah mengamalkan semak imbang melalui struktur kolektif, sebagai contoh, United Kingdom di mana keputusan berkaitan lesen dan keselamatan dibuat oleh sebuah lembaga iaitu Office for Nuclear Regulation.
“Kanada memiliki sebuah suruhanjaya bebas yang terdiri daripada ahli profesional dalam pelbagai bidang dan setiap keputusan serta kelulusan lesen besar dibuat secara bersama secara kolektif.
“Manakala Jepun memiliki Nuclear Regulation Authority yang dikendalikan oleh lima ahli dilantik serta disahkan Parlimen bergantung kepada seseorang individu,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan mewujudkan mekanisme rayuan teknikal yang menilai berdasarkan data saintifik supaya tidak hanya tertakluk kepada menteri yang bersifat politik tetapi juga dinilaikan berdasarkan data saintifik oleh pakar.
Tambahnya, negara juga penglibatan pakar antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi projek berskala besar.
“Cadangan ini adalah untuk memastikan kawal selia tenaga nuklear negara dibina berasaskan prinsip ketelusan, semak imbang dan amalan terbaik antarabangsa demi keselamatan rakyat dan integriti negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











