
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Rang Undang-Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 sebagai satu langkah tepat dan penting bagi memastikan keselamatan serta keberkesanan penggunaan teknologi atom di Malaysia selaras dengan perkembangan global.
Beliau menegaskan undang-undang asal yang digubal pada tahun 1984 sudah terlalu lama digunakan tanpa penambahbaikan sedangkan dunia terus berubah dengan pelbagai cabaran baharu termasuk aspek keselamatan, sekuriti nuklear, piawaian antarabangsa serta pengurusan sisa radioaktif.
“Kelewatan kita meneliti aspek ini akan menyebabkan Malaysia ketinggalan, sedangkan banyak negara telah beralih kepada teknologi yang lebih efektif dan selamat. Maka RUU ini hadir pada masa yang sangat tepat untuk kita dukung bersama,” ujarnya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan agar kerajaan memberi fokus kepada pendidikan masyarakat dalam memahami isu berkaitan sisa radioaktif dengan mencontohkan kontroversi Lynas yang pernah mengundang bantahan besar kerana maklumat tidak tepat disebarkan kepada rakyat.
“Akhirnya kita akui bahawa banyak maklumat pada waktu itu tidak betul. Maka mekanisme pendidikan kepada masyarakat sangat perlu dan pihak yang berautoriti serta pakar mesti tampil memberi jaminan, bukan dibiarkan maklumat palsu menimbulkan panik.
“Kita tengok pertembungan tu agak serius, hampir-hampir Lynas dibatalkan lesen dan sekarang kita harus akui bahawa pandangan itu adalah pandangan silap dan perlu diperbetulkan,” jelas beliau.
Menyentuh pengalaman antarabangsa, beliau mengambil contoh Iran yang walaupun menjadi negara anggota Non-Proliferation Treaty (NPT) dan menjalankan penyelidikan tenaga aman, tetap menjadi sasaran serangan serta tekanan geopolitik.
“Secara rasmi dia (Iran) dibenarkan untuk buat penyelidikan bagi teknologi tenaga yang bersih yang aman tetapi dia terus diserang bahkan negara dia diancam.
“Semata-mata kerana atau alasan bahawa dia telah pun memperkayakan uranium dia ke tahap 60 peratus tapi itu dakwaan daripada pihak luar yang tak setuju,” jelas beliau.
Katanya, Malaysia mesti bersedia dengan sistem kawal selia yang kukuh, berintegriti dan diiktiraf dunia agar tidak mudah terperangkap dengan risiko keselamatan serta percaturan politik global.
Beliau turut menggesa agar soal tapak pelupusan sisa radioaktif diberi perhatian serius kerana pengalaman menunjukkan ia sering menimbulkan bantahan penduduk setempat.
“Saya ambil pengalaman sikit dengan Lynas, isu besar ialah mana sisa nak dibuang terpaksa mencari bertahun-tahun, hampir bertahun mencari tempat untuk tapak pelupusan.
“Jadi akhirnya bila dicadangkan satu tempat, penduduk bantah, dicadang tempat lain, penduduk bantah, saya fikir yang di antara isu
besar.
“Saya beralih kepada soal kelemahan tadbir urus, saya lihat Akta 34 sedia ada hanya menekankan aspek keselamatan (safety), manakala aspek perlindungan (security) secara kecil, saya minta ini juga diberi perhatianlah,” kata beliau.
Selain itu, beliau menyokong cadangan penubuhan Kumpulan Wang Sisa Radioaktif tetapi menegaskan bahawa kos pengurusan jangka panjang tidak seharusnya ditanggung oleh rakyat melalui cukai.
“Kos ini mesti ditanggung oleh pengilang yang terlibat kerana sisa radioaktif memerlukan masa pengurusan yang sangat panjang. Kita tidak mahu rakyat menanggung beban ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











