Rakyat Kedah tuntut PH-BN jawab 20 isu gagal tadbir urus

- Advertisement -

ALOR SETAR: Himpunan PASAK tampil sebagai suara lantang rakyat Kedah yang menuntut penjelasan serta pertanggungjawaban pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terdahulu terhadap pelbagai kegagalan.

- Advertisement -

Himpunan tersebut menyenaraikan 20 isu besar yang gagal diselesaikan sepanjang pemerintahan kerajaan terdahulu melibatkan puluhan projek terbengkalai, kegagalan tadbir urus kewangan, janji tidak ditepati, malah meninggalkan beban hutang kepada negeri.

PASAK mengemukakan isu-isu itu meliputi skandal projek gajah putih, janji pembangunan yang tidak pernah ditunaikan, sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat Kedah secara langsung.

Antara kegagalan disebutkan ialah projek ikonik diumumkan BN sejak 2013 iaitu Litar Lumba Motosikal dengan kos asal RM30 juta sebelum diperbesarkan PH kepada RM73 juta yang walaupun gah dipromosikan dalam manifesto, projek itu tidak pernah dimulakan sehingga kini.

Begitu juga dengan projek tebatan banjir di Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit bernilai RM79.5 juta yang lebih satu dekad tertangguh walaupun banjir terus menghantui rakyat negeri ini.

PASAK tampil sebagai menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan himpunan sebagai reaksi balas kepada Himpunan Honggaq Kedah yang menggesa Sanusi turun daripada jawatan.

PASAK yang hadir dengan lebih 200 peserta turut menuntut jawapan berhubung pelbagai projek mega di mana hanya tinggal janji, pada himpunan berhampiran Himpunan Honggaq yang menyerahkan memorandum di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Antaranya tuntutan PASAK juga meminta Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah yang diumumkan PH pada 2019 dengan kos RM1 bilion dilaksanakan.

Begitu juga projek Aman Laut ala ‘Dubai’ bernilai RM1.2 bilion yang dilancarkan pada 2018; serta projek chalet Muzium Padi di Gunung Keriang di mana terbengkalai lebih 15 tahun walaupun sudah dimulakan.

Selain itu, kuarters guru di Tajar, Hosba, Hutan Kampung, Kubur Panjang dan beberapa lokasi lain pula menjadi projek gajah putih kerana tidak digunakan, walaupun menelan kos ratusan juta ringgit.

PASAK mendesak kerajaan terdahulu menjelaskan mengapa projek sedemikian dilaksanakan tanpa perancangan teliti hingga mengakibatkan kerugian kepada negeri.

Isu melibatkan kegagalan pengurusan kewangan juga dibangkitkan, termasuk dana khas RM50,000 untuk membawa kes Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) yang tidak diketahui ke mana perginya.

Selain kerugian projek 99 East Langkawi bernilai RM1.2 bilion; serta kegagalan mengurus hutang Syarikat Air Darul Aman (SADA) sehingga meninggalkan beban RM147 juta kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PASAK juga menyenaraikan projek-projek mega lain yang hanya tinggal nama, antaranya Lebuhraya SPIKE, Bandaraya Sains Perubatan Kedah, Bandaraya Aero Kedah, Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) serta Marina Harbour di Kuala Kedah yang menelan RM61.55 juta tetapi langsung tidak digunakan kerana laut cetek.

“Rakyat Kedah terus dibebani akibat kecuaian kerajaan terdahulu. Contoh paling nyata ialah masalah air terawat yang hilang hampir 50 peratus akibat paip usang yang tidak pernah diganti sejak puluhan tahun.

“Kerajaan BN dan PH sepatutnya menanganinya lebih awal, bukan meninggalkan rakyat menderita,” kata kenyataan itu yang diketuai oleh penganjurnya, Mohammad Haromen Zaki Al Maghribi Mohd Hashim Khan.

Turut disentuh ialah kegagalan projek Jerai International Park yang memaksa Kerajaan Negeri membayar pampasan RM21 juta kepada syarikat usahasama.

Selain kes Yayasan Islam Kedah diperintah membayar RM11 juta kepada Long Island kerana gagal memindahmilik tanah, serta tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berjumlah RM10 juta dari 2014 hingga 2019.

Lebih mengecewakan, kata mereka, janji Kerajaan Madani untuk membayar penuh insentif petani membajak dan menuai sebelum 31 Julai 2025 juga tidak ditunaikan, sehingga pesawah Kedah sekali lagi dikhianati.

Malah masalah banjir kilat di Taman Wira Mergong, Alor Setar yang dijanjikan setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) oleh BN hanya dapat diselesaikan selepas pentadbiran PN mengambil alih.

PASAK menegaskan, rakyat Kedah berhak menuntut penjelasan, ganti rugi dan permohonan maaf terbuka daripada PH-BN atas segala kegagalan tersebut.

Mereka menegaskan bahawa semua isu yang disenaraikan membuktikan kelemahan tadbir urus kerajaan terdahulu hanya pandai berjanji, tetapi gagal merealisasikan pembangunan dijanjikan kepada rakyat.

“Kami menuntut Kerajaan PH-BN jangan lagi berdiam diri, tetapi bertanggungjawab kepada rakyat Kedah. Rakyat berhak tahu ke mana hilangnya projek-projek yang dijanjikan.

“Ke mana wang negeri dibelanjakan, dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan. Kedah tidak boleh terus jadi mangsa kegagalan mereka,” tegas kenyataan PASAK. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -