Anak-anak muda tolak politik ‘komang spanar’ pembenci PAS

Isu Himpunan RXZ Members

- Advertisement -

POLITIK ialah seni menguasai masyarakat, sejauh mana pergulatan dalam masyarakat membuahkan sebuah keutuhan kepercayaan serta membina keyakinan pada seseorang tokoh atau parti yang bergerak dalam medan operasional.

Himpunan RXZ di Gong Badak Terengganu antara contoh bagaimana perang persepsi sebenarnya adalah natijah daripada bagaimana penerimaan masyarakat kepada tokoh dan parti mempunyai kaitan dengan latar penglibatan mereka dalam ruang operasional.

Himpunan RXZ 7.0 kali ini memicu perhatian besar masyarakat, bukan sekadar kepada kelompok anak muda namun merentasi lingkaran politik kepartian. Sebulan sebelum ini, himpunan tahunan ini telah geger diperkatakan sama ada dalam sisi putih atau sisi gelap. Papan iklan mengalu-alukan kehadiran tetamu pemotoran ke negeri penyu ini telah siap terpasang seawal dari Daerah Kemaman.

- Advertisement -

Radio Manis FM, milik kerajaan negeri, juga turut membantu mempromosikan himpunan ini, segalanya percuma kerana semangat membuncah untuk menarik seramai mungkin anak-anak muda ke acara ini.

Persoalannya, mengapa begitu beria-ria sangat sambut usaha menarik geng-geng motor RXZ ini ke Terengganu sedangkan seribu keburukan turut terselit dengan kehadiran lebih 100,000 orang peminat motorsikal. Kemalangan akan berlaku walau cuba dielak kerana sifat agresif anak muda bila ramai berkongsi jalan raya. Bunyi bising ekzos yang bingit mengganggu kedamaian, sehingga ramai penduduk Terengganu yang mendiami rumah tepi jalan raya mengadu kesukaran melelapkan mata. Mata juga terganggu oleh adegan pemanduan merbahaya seperti aksi  superman, modifikasi melampau kenderaan seperti ekzos meriam buluh. Dalam naratif gelap ini mengapa warga Terengganu  bersungguh-sungguh mengalukan kehadiran lebih 100,000 tetamu ini ke lahan mereka yang damai selama ini?

Faktor utama mengapa negeri Tok Ku Paloh ini menjadi tumpuan pelancong ialah kerana warga negeri ini memahami bahawa sunnah Nabi SAW ialah menyambut dan memuliakan tetamu.

Rakyat Terengganu juga suka berjamu makan, lihat sahaja apa yang bergentayangan di media sosial. Semenjak dari awal pagi, penduduk kampung sepanjang LPT siap berjemaah untuk membuat kain rentang. Warga kampung tanpa sebarang upah bersiap untuk memenuhi beberapa flyover LPT untuk menyambut geng-geng RXZ yang berduyun menuju ke litar Gong Badak.

Ulama sesepuh Terengganu sejak dahulu mengajar mereka bahawa meraikan tetamu yang datang bukan sekadar medan mengumpul pahala bahkan tetamu yang datang itu juga membawa rahmat bersama mereka.

Kesan berangkai juga berlaku. Kedai-kedai makan penuh merumbu, kerepok lekor, sata, ikan celup tepung dan nasi dagang merajai menu. Pelancongan domestik membuncah lagi dengan perniagaan penginapan seperti rumah inap (homestay), hotel, glamping, resort serta asrama nginap meriah dan memberikan pulangan besar kepada rakyat.

Banjiran ratusan ribu tetamu acara himpunan pemotoran ini juga turut menjadikan peniaga-peniaga kecil di sepanjang jalan meriah dengan jualannya. Restoran, gerai makan, kiosk, gerai buah-buahan meriah seperti jualan musim raya!

Acara himpunan di Terengganu tidak akan menyamai tahap ini di negeri-negeri lain kerana penglibatan massa yang mendokong. Lihat sahaja inisiatif pihak masjid, surau, pusat dakwah, pelbagai syarikat dan juga NGO serta ramai NGI yang turut terlibat menyediakan makanan dan minuman percuma.

Lebih ekstrem juga bila rakyat Terengganu turut mengeluarkan belanja untuk minyak motor tetamu, ada juga sanggup memberi bantuan untuk menunda (towing) motor yang rosak. Sebelum ini, jika ada acara ‘memukat’ oleh pihak polis dan JPJ, tidak sedikit orang-orang kampung membantu peserta-peserta yang terpencar untuk menyelamatkan diri.

Kebaikan warga Terengganu ini membentuk ukhuwah dan titik silaturrahim yang berpanjangan, menoreh kenangan kolektif kepada peserta ‘ijtimak’ pemotoran di Terengganu. Bukan sekadar bertemu mata atas hobi yang sama tetapi juga melahap ilmu daripada Ustaz Azhar Idrus dan para asatizah yang lain. Jika peserta bermalam di masjid maka mereka akan dihidangkan dengan qiam, juga kuliah subuh.

Masyarakat Terengganu tebal dengan nilai-nilai agama, budaya ihtiram duyuf iaitu memuliakan tetamu adalah antara dipasak dalam fikrah orang Terengganu. Budaya membelanjai orang lain makan minum telah sebati dengan orang Terengganu, kefahaman ini tumbuh lahir daripada kesedaran beragama yang dipasak oleh para asatizah. Sejak zaman berzaman, Terengganu di tangga teratas bab ini.

Budaya yang selalu diamalkan oleh masyarakat di negeri Terengganu ini, menjadikan tetamu terasa rindu ingin kembali ke negeri yang mempunyai jajaran pantai bersih putih paling menggiurkan sukma.

Orang Terengganu ada maruah diri, ya mungkin mereka tidak kaya dari segi harta dan wang ringgit tetapi mereka kaya dengan adab dan hati budi.

Keghairahan menyambut tetamu tersentak bila khabar ketua negeri Terengganu tidak diundang ke acara perasmian, begitu juga Exco kerajaan Terengganu. Penganjur terpanar dengan sumbangan RM100,000 oleh PMX, walhal MB Terengganu, Ir Dr Samsuri Mokhtar pernah memberikan sumbangan besar kepada acara tahunan ini bagi menyokong anak-anak muda.

Isu penajaan mula diperkatakan, walhal penganjur mengutip yuran yang lumayan daripada peserta. Jutaan wang berjaya dikantungkan sehingga dalam matematik mudah penulis, tidak perlu sangat penajaan besar kerana acara ini sudah boleh berdiri sendiri.

Kemuncak protes organik dapat kita saksikan apabila acara perasmian himpunan RXZ 7.0 petang tadi dipenuhi adegan memalukan. Penganjur serta perasmi yang datang jauh dari Putrajaya diboo oleh khalayak, kondisi ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malam ini pula bila ‘nasi sudah menjadi bubur’, penganjur menyatakan keinginan untuk bertemu pimpinan negeri Terengganu, kononnya terlepas pandang soal jemputan. Jangan buat main-main dengan kuasa rakyat dan jangan perasan kalian hebat kerana acara ini mendapat sambutan. Acara himpunan pemotoran ini berjaya kerana pelbagai faktor yang bervariasi, paling besar kerana budaya masyarakat Terengganu sendiri.

Moga kalian mendapat pengajaran daripada kebodohan sikap ini, jangan main politik ‘komang spanar’, boh!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -