
ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat keamanan dan kemerdekaan kepada kita semua.
Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman. Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan rasa kasih yang mendalam terhadap Makkah, tanah kelahirannya. Begitu juga kita, generasi hari ini, wajib menyayangi Malaysia sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan.
Sambutan Hari Kemerdekaan 2025 bukan sekadar pesta atau acara tahunan, tetapi waktu untuk anak muda menyelami perjuangan dan pengorbanan para pemimpin dan pejuang tanah air yang telah mempertahankan kedaulatan negara dengan kemerdekaan. Sambutan mengingatkan kita agar faham dan kenal asal usul nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.
Alhamdulillah, justeru kita melihat semangat anak muda begitu jelas melalui sambutan mereka melalui pelbagai kempen di media sosial. Inilah bukti bahawa generasi muda tetap cintakan negara dan bersedia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesyukuran.
Begitulah juga nikmat kemerdekaan ini perlu difahami secara lebih tersirat. Kebebasan berlandaskan aturan agama dan nilai kemanusiaan. Dalam konteks Kerajaan Negeri Kelantan, kita percaya Penghayatan Membangun Bersama Islam adalah manifestasi kepada panduan yang komprehensif agar memahami erti kemerdekaan melalui cara berkerajaan. Mengurus hal ehwal rakyat agar kehidupan lebih sejahtera dan mentadbir negeri secara adil dan saksama melalui instrumen Maqasid Syariah.
Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyeru seluruh rakyat, khususnya anak muda negeri ini untuk tampil menyemarakkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang. Hiasilah markaz parti, kelab-kelab PAS, entiti di bawah Dewan Pemuda PAS, rumah, premis, pejabat dan kenderaan dengan bendera kebanggaan kita sebagai langkah solidariti. Semoga dengan langkah kecil ini, lahir kecintaan yang besar terhadap tanah air seiring tuntutan agama dan semangat perjuangan bangsa.
الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد.
“Sayangi Malaysia”
Sekian, terima kasih.
MOHD FIRDAUS MOHAMED NAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 25/8/2025











