Pematuhan layanan terhadap pesalah bawah umur kena adil

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sistem keadilan jenayah negara digesa agar serius dan adil dalam mematuhi undang-undang perlindungan kanak-kanak, bagi mengelakkan persepsi layanan terpilih yang boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, walaupun undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001 sudah termaktub, sistem penguatkuasaan sering kali dilihat ‘jahil’ dan tidak serius dalam melaksanakannya.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkongsi beberapa pengalaman mengecewakan ketika mengendalikan kes melibatkan pesalah atau saksi bawah umur.

“Situasi pertama, apabila nama anak guam saya yang bawah umur terdedah, jawapan yang diterima adalah ‘nama sahaja, kita tak letak nombor IC’. Ini jelas bertentangan dengan semangat melindungi identiti kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut menceritakan situasi di mana seorang saksi kanak-kanak dipaksa memberi keterangan di dalam kandang saksi, berhadapan dengan tertuduh, sedangkan prosedur sepatutnya dijalankan secara rakaman bagi mengelakkan trauma dan tekanan kepada saksi.

“Kanak-kanak itu sangat trauma melihat muka Orang Kena Tuduh (OKT), ia pasti akan mempengaruhi keterangannya. Sepatutnya keterangan diambil secara rakaman,” tegasnya.

Selain itu, Mardhiyyah mendedahkan amalan di mana kanak-kanak yang didakwa (penama) terpaksa menunggu giliran kes bersama-sama tertuduh dewasa dan orang awam selama berjam-jam di galeri mahkamah.

“Apabila kes dipanggil, barulah semua orang awam diarah keluar kerana prosiding berjalan secara tertutup. Ini mengalahkan tujuan untuk melindungi identiti kanak-kanak itu sedangkan dia sudah terdedah kepada umum berjam-jam sebelumnya,” jelas beliau.

Beliau membandingkan situasi tersebut dengan pengendalian kes buli melibatkan Almarhumah Zara Qairina di Sabah baru-baru ini, di mana pematuhan terhadap Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dilaksanakan dengan begitu baik sehingga media hanya menyiarkan gambar van dan peguam sahaja.

“Jika semua pihak mampu mematuhi undang-undang dengan baik dalam kes di Sabah, apa halangan untuk melaksanakannya secara seragam dalam semua kes lain di seluruh negara? Pematuhan ini mesti adil,” ujarnya.

Beliau turut menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pendedahan identiti pesalah bawah umur akan membuatkan mereka insaf, dengan menyatakan ia memerlukan perbahasan yang lebih mendalam.

Kerana jelasnya, undang-undang digubal untuk melindungi semua kanak-kanak yang kebanyakannya terjerumus dalam jenayah akibat kegagalan orang dewasa.

“Apabila layanan berbeza, orang awam akan rasa dizalimi dan tidak mempercayai sistem yang mengadili mereka. Cukup dengan kesilapan yang lepas. Perbaiki mulai sekarang untuk masa akan datang,” katanya. – *HARAKAHDAILY 25/8/2025*

- Advertisement -