
KUALA LUMPUR: Peguam aktivis, Mohamad Zubair Embong menyifatkan kenyataan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bakal merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai agak kasar.
Menurutnya, sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, memang diakui menteri bertindak bagi pihak YDPA dalam melaksanakan tugas, sebagaimana yang termaktub secara bertulis mahupun konvensyen.
“Memanglah menteri itu bertindak bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, semua tugas dilaksanakan menteri. Itu satu yang tak boleh dinafikan. Tetapi dalam peruntukan undang-undang, pada pandangan saya, akta sepatutnya meletakkan perkara ini dengan jelas.
“Mesti disebut menteri bertindak bagi pihak YDPA dengan ‘consent’ daripada baginda. Ia tidak boleh jadi ‘blanket consent’ (persetujuan menyeluruh),” ujarnya dalam rancangan _Lepak Borak-borak Der_ media sosial miliknya.
Menurut beliau, persoalan timbul sama ada setiap dasar atau perkara yang hendak dilaksanakan oleh menteri dibentangkan terlebih dahulu kepada YDPA, termasuk sama ada baginda diberikan maklumat lengkap mengenai baik buruk sesuatu tindakan kerajaan.
Mohamad Zubair berkata, kerisauan itu bertambah apabila wujud persepsi hilang keyakinan terhadap menteri khususnya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dipimpin wakil daripada DAP.
“Undang-undang pun boleh mereka langgar. Bayangkan penceroboh tanah di Raub siapa yang bela kalau bukan wakil rakyat atau Ahli Parlimen DAP?
“Malah isu terbalikkan bendera pun mereka pertahankan, bukan sekali, tapi berkali-kali. Dan yang waktu yang dekat ni, lepas itu kedai tu kedai ni lepas itu tapi yang bela siapa?
“Dan adakah ini selari dengan semangat negara Raja Berperlembagaan? Nampak tak?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan cadangan Menteri KPKT menjadikan Kampung Baru Cina sebagai kawasan warisan UNESCO yang dipelihara di bawah Akta Warisan Kebangsaan.
Jelasnya, cadangan itu bercanggah dengan Seksyen 2 akta berkenaan yang menyebut akta itu tidak terpakai bagi tapak warisan di bawah akta tersebut.
“Kalau betul nak jaga di bawah semangat YDPA sebagai payung negara dan menjaga hak keistimewaan Bumiputera, kenapa tidak masukkan tanah simpanan Melayu sebagai terkecuali daripada akta ini?
“Ada sahabat katakan URA ini juga adalah pintu belakang untuk mengambil alih tanah simpanan Melayu. Kalau kawasan itu digazetkan sebagai pembangunan semula, tanah simpanan Melayu juga boleh ditukar status, diambil atau dirampas,” dedahnya.
Beliau berkata, kerajaan hari ini seolah-olah ditunggang DAP, manakala Perdana Menteri (PMX) dilihat tidak mampu menegur parti berkenaan.
“Bayangkan, DAP pernah membantah rancangan PMX membina perumahan B40 di bandar kerana alasan sesak. Tapi dalam cadangan URA, mereka mahu tambah unit lebih tinggi. Secara automatik akan timbul isu kesesakan, parkir dan kos pembangunan yang tinggi.
“B40 yang kerja di bandar pula disuruh pindah ke luar bandar. Itu seolah-olah menghalau mereka keluar dari bandar,” kesalnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun secara literal kenyataan menteri tidak bermaksud mengambil alih kuasa YDPA, namun secara praktis ia menggambarkan penghormatan terhadap institusi diraja semakin longgar.
“Tanda kemuliaan negara seperti bendera pun mereka boleh pertahankan walau terbalik berkali-kali. Bahkan isu tanah diceroboh di Raub pernah membuatkan Sultan Pahang ketika itu yang juga Agong menyatakan baginda terkilan.
“Maknanya walaupun kenyataan itu agak keras, secara praktisnya kita nampak seolah-olah memang mereka tidak lagi memberikan penghormatan kepada YDPA sebagai pelindung Perlembagaan dan hak-hak Bumiputera,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











