
AYER KEROH: Peranan ibu bapa sebagai guru dalam keluarga merupakan asas utama pembentukan insan hebat yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
Wakil BERJASA, Datin Asmahan Zaidan menyatakan perkara itu ketika menyampaikan syarahan ‘Suara Wanita Wibawa’ sempena pelancaran Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A), di sini kelmarin.
Beliau membawa contoh tokoh wanita Nusantara, Rahmah al-Yunusiah yang mendapat pendidikan awal di rumah daripada ayah dan abang-abangnya kerana ketika itu anak-anak perempuan tidak dihantar ke sekolah.
“Walaupun tidak bersekolah formal, pada usia 23 tahun beliau menubuhkan sebuah madrasah khas untuk wanita bernama Madrasah Diniyah Putri. Dari situlah lahir generasi wanita berpelajaran, berkemahiran dan menjadi penyumbang besar kepada masyarakat,” jelasnya.
Menurut Asmahan, usaha besar itu melayakkan Rahmah menerima pengiktirafan tinggi dari Universiti Al-Azhar dengan gelaran Sheikhah atas sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.
“Wanita Malaysia juga pernah dihantar belajar di madrasah itu, termasuk salah seorang bekas Ketua Dewan Muslimat PAS sekitar tahun 1950-an,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengangkat kisah Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai contoh kejayaan hasil didikan keluarga.
“Visi besar ayahnya, Sultan Murad II, bahawa anaknya bakal menakluk Konstantinopel, disambut penuh iltizam oleh ibunya. Sejak kecil, ibunya sering membawanya melihat kota itu sambil menanamkan keyakinan bahawa kelak puteranya akan menakluki benteng tersebut,” katanya.
Ujarnya, hasil didikan gabungan ibu bapa dan ulama, Muhammad Al-Fateh akhirnya menunaikan sabda Rasulullah SAW dengan menawan Konstantinopel pada usia 20 tahun pada tahun 1453.
“Namun kejayaan beliau bukan sekadar menakluk kota, tetapi memperluas wilayah Islam dari 600,000 kilometer persegi kepada 2 juta kilometer persegi. Itu bukan kerana cintakan peperangan, tetapi demi membebaskan umat Islam yang tertindas seperti di Andalus,” ujar beliau.
Asmahan menegaskan, kedua-dua kisah itu membuktikan betapa besar kesan pendidikan awal dalam keluarga.
“Anak-anak yang dibesarkan dengan visi, bimbingan agama dan sokongan ibu bapa mampu menjadi insan luar biasa, sama ada seperti Rahmah al-Yunusiah atau Muhammad Al-Fateh,” katanya.
Beliau menyeru para ibu khususnya untuk memikul peranan sebagai guru keluarga dengan mendidik anak-anak sejak awal agar lahir generasi berjiwa besar, berilmu dan berakhlak mulia.
“Mungkin suatu hari nanti anak-anak yang kita didik hari ini akan jadi tokoh besar, pejuang ummah, atau pendidik masyarakat. Tetapi semuanya perlu bermula dari rumah, bermula dari kita,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











