
FIRMAN Allah SWT:
{ ۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ }
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu berlaku) adil, berbuat kebaikan, dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; serta melarang daripada perbuatan keji, mungkar, dan kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan.” (Surah al-Naḥl: 90)
Pengenalan
Istilah ‘keadilan sosial dalam Islam’ mula diperkenalkan oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb melalui karyanya al-‘Adālah al-Ijtimā‘iyyah fī al-Islām (العدالة الاجتماعية في الإسلام).
Buku ini ditulis sebagai respons terhadap karya Almarhum Sheikh Mustafa al-Sibā‘ī yang menulis kitab al-Isytirākiyyah al-Islāmiyyah (الإشتراكية الإسلامية) atau Islam Sosialis. Kitab itu kemudiannya dalam cetakan seterusnya ditukar nama kepada al-Takāful al-Ijtimāʿī fī al-islām (التكافل الاجتماعي في الإسلام) atau Konsep Tanggungjawab Sosial dalam Islam.
Walaupun isi buku tersebut banyak membawa kebaikan, namun Sayyid Qutb berpandangan bahawa tajuknya kurang sesuai.
Selingan: Walaupun nama Sayyid Qutb sering dikritik (khususnya oleh ilmuwan pro-kerajaan), kita tidak boleh menafikan jasa dan sumbangan ilmunya. Malah, banyak kajian akademik dan tesis telah dibangunkan daripada pemikiran beliau.
Maksud keadilan
Konsep adil menurut Islam berbeza dengan kefahaman Barat:
Tamadun Barat dibina berasaskan materialisme.
Tamadun Islam pula berpaksikan wahyu.
Beberapa tokoh Barat pernah membincangkan mengenai keadilan sosial, antaranya Napoleon Bonaparte, melalui pengenalan Napoleonic Code (Kod Sivil Perancis) dan John Rawls, seorang tokoh liberal moden.
Menurut John Rawls, kebebasan bermaksud ‘bebas melakukan apa sahaja’. Hal ini kerana beliau melihat kemiskinan sebagai punca rakyat terkongkong. Maka, untuk menjamin kebebasan, beliau mencadangkan supaya orang kaya dikenakan cukai demi mengimbangi jurang ekonomi.
Namun, pandangan ini ditentang oleh golongan liberal klasik dan pemilik modal. Bagi mereka, kedudukan sosial seseorang adalah ‘semula jadi’ dan berdasarkan nasib. Jika seseorang lahir miskin, maka itu adalah ketentuan hidupnya.
Keadilan sosial menurut Sayyid Qutb
Sayyid Qutb menegaskan bahawa pemikiran Islam mesti bersumberkan al-Quran dan hadis. Setiap idea beliau berpaksikan dalil, kemudian dikembangkan menjadi gagasan.
Pendekatan ini juga digunakan oleh tokoh besar Islam seperti Ibnu Khaldun, yang mengaitkan teori pembangunan negara dengan nas-nas al-Quran dan hadis.
Antara contoh ayat yang boleh dijadikan pedoman adalah kisah Zulqarnain dalam Surah al-Kahfi.
Ciri-ciri keadilan dalam Islam menurut Sayyid Qutb:
1. Al-Taḥarrur al-Wijʿdāni al-Muṭlaq (التحرر الوجداني المطلق) iaitu kebebasan suara hati.
2. Al-Musāwah al-Insāniyyah (المساواة الإنسانية) iaitu kesamarataan manusia.
3. Al-Takāful al-Ijtimāʿī (التكافل الاجتماعي) iaitu tanggungjawab masyarakat.
Kayu ukur keadilan ini tidak ditentukan oleh akal semata-mata, tetapi diikat dengan wahyu Allah SWT.
Keseragaman undang-undang Allah
Hukum dan undang-undang Allah SWT sempurna tanpa sebarang kecacatan. Manusia tidak mampu menandingi aturan-Nya, sama ada pada hukum syariat mahupun sistem alam semesta.
Firman Allah SWT:
{ ٱلَّذِی خَلَقَ سَبۡعَ سَمَـٰوَ ٰتࣲ طِبَاقࣰاۖ مَّا تَرَىٰ فِی خَلۡقِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتࣲۖ فَٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ هَلۡ تَرَىٰ مِن فُطُورࣲ }
“Dialah yang menciptakan tujuh lapis langit berlapis-lapis. Engkau tidak akan melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sebarang ketidakseimbangan. Maka ulangilah pandanganmu, adakah engkau melihat sebarang kecacatan?” (Surah al-Mulk: 3)
Namun, terdapat golongan yang menolak hukum Allah, antaranya golongan LGBT. Fenomena moden seperti slogan YOLO – You Only Live Once turut mendorong masyarakat kepada gaya hidup bebas tanpa batasan, yang akhirnya membawa kepada kerosakan seperti penularan HIV dan penyakit sosial lain.
Bersambung siri seterusnya.
Catatan dan olahan ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN berdasarkan pengisian USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR FADZIL (Pensyarah KIAS) – HARAKAHDAILY 25/8/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1DDH2PGn4D/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











