Wanita digesa bangkit pertahan kedaulatan negara

- Advertisement -

AYER KEROH: Wanita Melayu Islam digesa bangkit sedar dan memahami tanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air yang hakikatnya milik bangsa Melayu sejak dari sejarah awal penubuhan negara.

- Advertisement -

Seruan itu disampaikan oleh Datuk Kamilia Ibrahim ketika menyampaikan syarahan ‘Suara Wanita Wibawa’ sempena pelancaran Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A), di sini kelmarin.

Menurutnya, perjuangan menegakkan hak Melayu perlu diperjelaskan semula kerana terlalu ramai orang Melayu hari ini semakin lalai terhadap sejarah sebenar.

Ujarnya, sejarah Melaka membuktikan ketuanan dan kecemerlangan Melayu di Nusantara, justeru tidak wajar generasi kini meremehkan asas identiti tersebut.

Katanya lagi, kedaulatan bermaksud kuasa memerintah dan menentukan hala tuju negara, dan kuasa itu terletak pada institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi teras Perlembagaan Persekutuan.

“Kedaulatan itu bermakna kita ada negara sendiri. Melayu duduknya di Tanah Melayu. Kita tidak ada tempat lain untuk pergi. Maka jangan sampai kita hilang kuasa memerintah kerana terlalu berlembut hingga hak kita terhakis,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sifat terlalu bertolak ansur orang Melayu tidak boleh sampai menggadaikan asas kedaulatan.

“Sebaliknya, generasi wanita perlu diperkasakan dengan kesedaran jati diri agar mampu mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Majlis pelancaran K.I.T.A di Melaka dianggap bersejarah kerana negeri itu pernah menjadi pusat kegemilangan Kesultanan Melayu yang meletakkan asas kepada sejarah ketuanan Melayu di rantau ini. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -