
AYER KEROH: Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) membawa satu anjakan baharu dalam perjuangan wanita Melayu-Islam dengan menggariskan tiga agenda utama sebagai teras pergerakannya.
Majlis pelancaran yang diadakan di negeri bersejarah ini dilihat sebagai satu langkah simbolik untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam, dengan wanita sebagai penggerak utamanya.
Pengarah Program K.I.T.A, Kintan Man berkata, penubuhan K.I.T.A adalah hasil muafakat dan kesepakatan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk sayap parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan Individu Bukan Kerajaan (NGI).
Menurutnya, matlamat utama adalah untuk membina satu kekuatan kolektif bagi mempertahankan hak-hak bangsa serta memelihara utuh identiti Islam.
“Program sulung ini sengaja dipilih berlangsung di Melaka kerana negeri ini pernah menjadi mercu kegemilangan tamadun Islam. Kini, kita berhasrat untuk mengukir kembali sejarah itu melalui muafakat wanita Melayu-Islam,” ujar beliau, kelmarin.
Mengulas lanjut, ujar Kintan, K.I.T.A akan berpegang kepada tiga agenda utama dalam setiap gerak kerjanya.
Agenda pertama jelas beliau, adalah menyatukan NGO, NGI dan pemimpin politik Melayu-Islam bagi membina jambatan kerjasama yang kukuh demi memperjuangkan agenda ketuanan bangsa dan kedaulatan Islam secara bersepadu.
Agenda kedua pula ujarnya lagi, adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu penghakisan hak-hak Melayu-Islam.
“Kita akan menggerakkan suara wanita untuk memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat tentang ancaman terhadap aset, kuasa pentadbiran, dan kedudukan strategik bangsa Melayu-Islam yang semakin terhakis,” tegasnya.
Agenda ketiga katanya, adalah memperkukuhkan peranan wanita dalam mempertahankan tanah air, bahasa, dan identiti bangsa.
“Wanita akan diletakkan sebagai teraju utama dalam usaha melindungi tanah air, memartabatkan warisan bahasa, serta memelihara jati diri bangsa yang berpaksikan ajaran Islam,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan ketiga-tiga agenda ini sebagai satu amanah besar yang perlu direalisasikan bersama.
“Tanggungjawab ini sememangnya berat, namun dengan semangat muafakat dan pertolongan Allah, insya-Allah kita mampu untuk menggalasnya,” tambah beliau pada majlis perasmian yang diserikan dengan pelancaran logo dan lagu rasmi K.I.T.A.
Di samping itu, satu sesi ‘townhall’ bertemakan ‘Wanita dan Ketuanan Melayu’ juga diadakan, menampilkan barisan ahli panel yang terdiri daripada pelbagai kluster kepakaran bagi membincangkan peranan wanita dalam agenda besar ini.
Majlis tersebut menghimpunkan 500 wanita mewakili pelbagai NGO dan NGI di seluruh Malaysia.
Hadir sama, Pengerusi K.I.T.A, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Timbalan Pengerusi K.I.T.A, Bibi Sunita Sakandar Khan dan Ketua Penerangan BERSATU, Nurul Syazwani Tan Sri Noh. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











