
SEGAMAT: PAS Kawasan Segamat sedia berganding bahu dengan agensi berwajib dalam menggerakkan sukarelawan komuniti untuk membantu penduduk berikutan kejadian gempa bumi yang melanda daerah itu.
Ketua Penerangan PAS Segamat, Basri Din Kamar berkata, PAS Segamat bersiap sedia membantu dalam aspek keselamatan, kesedaran bencana dan menyalurkan maklumat sahih kepada penduduk serta mereka yang terkesan oleh kejadian itu.
Beberapa kawasan di dalam daerah ini dilaporkan merasai gegaran kecil yang disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berpunca gempa bumi lemah bukan daripada aktiviti sesar aktif, tetapi kesan dari luar kawasan, sekitar jam 6 pagi semalam.
PAS Segamat sehubungan itu menyeru seluruh masyarakat bertenang, tidak panik dan terus mendapatkan maklumat sahih dari sumber rasmi ekoran gegaran itu walaupun lemah, sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kerana tidak pernah mengalami fenomena itu.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Kami menyeru agar warga Segamat terus berwaspada, namun tidak terikut-ikut dengan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kebimbangan berlebihan.
“Kami melihat kejadian ini sebagai peringatan daripada Allah SWT agar kita semua meningkatkan kesiapsiagaan,” katanya turut menzahirkan doa agar Allah SWT memelihara keselamatan seluruh penduduk daerah ini serta seluruh rakyat Malaysia daripada sebarang bencana tidak diingini.
Selain itu, PAS Segamat menyeru umat Islam agar memperbanyakkan doa dan munajat, agar daerah Segamat sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











