
AYER KEROH: Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) bertekad memperkukuh peranan wanita Melayu-Islam sebagai pendukung utama di barisan hadapan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Pengerusi K.I.T.A, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, dalam ucapan pelancaran rasmi kesepakatan itu berkata, K.I.T.A dibina atas empat tekad besar yang akan menjadi panduan perjuangan.
“Pertama, keselamatan dan kedaulatan, K.I.T.A berpegang teguh kepada agama, mempertahankan maruah bangsa serta membela tanah air. Kedua, pendidikan, mendidik generasi dengan acuan Rabbani agar lahir masa depan yang berprinsip dan berilmu.
“Ketiga, ekonomi, memperkasa wanita berdaya saing, melahirkan jaringan usaha wanita dan membina kekuatan ummah.
“Keempat, kesihatan, menuntut kepada kerajaan agar keterjaminan kesihatan fizikal, mental dan emosi wanita serta keluarga dipelihara, kerana wanita sihat melahirkan masyarakat yang kuat dan sejahtera,” katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara turut menyifatkan logo rasmi K.I.T.A bukan sekadar seni grafik, tetapi mencerminkan tekad perjuangan wanita Melayu-Islam.
“Empat siluet wanita melambangkan kepelbagaian kita daripada parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Individu Bukan Kerajaan (NGI), bersatu di bawah bendera Malaysia dengan 14 jalur tanda cinta tanah air.
“Lingkaran hijau menggambarkan pegangan teguh kepada agama, warna emas melambangkan maruah wanita, manakala bunga raya menjadi lambang bahawa kita adalah wanita Malaysia yang berhikmah, berani dan berprinsip,” jelasnya.
Menurutnya, K.I.T.A tidak akan hanya menjadi nama di atas kertas, sebaliknya akan bergerak secara aktif melalui penganjuran ‘townhall’, penglibatan media massa serta pengukuhan jaringan ekonomi wanita.
“Kita tidak menunggu peluang, tetapi mencipta ruang. Kita bukan sekadar penyokong di belakang, tetapi pendukung di barisan hadapan. Semoga Allah menerima usaha kita, memberkati langkah-langkah kita dan menganugerahkan kemenangan,” ujar beliau penuh semangat.
Majlis turut disertai pimpinan wanita daripada pelbagai latar belakang parti politik, NGO serta NGI, yang bersama menjayakan pelancaran simbolik ini. – HARAKAHDAILY 25/8/2025











