PASTI, SRITI dan SMITI sah di sisi undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Faiz Na’aman yang mempersoalkan status operasi institusi pendidikan PAS iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) disifatkan sebagai tuduhan liar.

- Advertisement -

Politikus Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini secara tidak bertanggungjawab mendakwa kononnya wujud unsur ‘indoktrinasi’ politik halus dalam PASTI serta meletakkan label ‘ternak walaun seawal prasekolah’ kepada murid-muridnya.

“Label itu amat melampau dan tidak berakhlak. Perkataan ‘ternak’ digunakan untuk binatang, dan ia seolah menggambarkan murid-murid PASTI setaraf dengan haiwan.

“Hakikatnya, PASTI, SRITI dan SMITI bukan medan politik kepartian, tetapi institusi pendidikan awal kanak-kanak yang mendidik dengan nilai Islam, akhlak mulia serta asas akademik,” ujar Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Katanya, PAS sebagai sebuah parti politik berhak menganjurkan aktiviti pendidikan, sosial, ekonomi dan pemerintahan berteraskan Islam, sebagaimana termaktub dalam Fasal 6(2) Perlembagaan PAS.

“Keberadaan pusat pendidikan ini sepenuhnya sah kerana ia manifestasi langsung daripada objektif perjuangan PAS. Tidak ada apa-apa yang bercanggah dengan Akta Pendidikan atau Perlembagaan parti,” katanya lagi.

Sebaliknya, jelas beliau, PASTI, SRITI dan SMITI berperanan sebagai platform pendidikan Islam yang dituntut perjuangan PAS di mana guru-guru PASTI adalah sukarelawan, bukan pekerja bergaji tetap atau formal di bawah struktur penggajian.

“Mereka tidak tertakluk kepada definisi ‘pekerja’ menurut mana-mana Akta Perburuhan. Elaun yang diterima adalah insentif sukarelawan, bukan gaji tetap, justeru kewajipan gaji minimum tidak boleh diaplikasikan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, PAS sentiasa komited memastikan program pendidikan itu mematuhi piawaian ilmiah dan pedagogi dengan silibus sesuai umur, pendekatan holistik dan pemantauan rapi di peringkat negeri serta kebangsaan.

“PASTI adalah institusi pendidikan awal Islam yang sah di sisi undang-undang, dengan guru sukarelawan yang bukan pekerja formal.

“Saya menyeru masyarakat melihat PASTI, SRITI dan SMITI sebagai usaha pendidikan mulia berteraskan Islam untuk membentuk generasi rabbani dan murabbi berpandukan al-Quran dan al-Sunnah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2025

- Advertisement -