
SEBUAH rumah dua tingkat yang kelihatan sederhana di Kampung Rama, Sanglang, menyimpan sejarah besar seorang tokoh perjuangan Islam tanah air.
Di tingkat atas rumah ini, tersimpan ratusan karya, kitab dan manuskrip peninggalan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah seorang ulama, pemikir, ahli politik dan pejuang Islam yang pernah mencorakkan lanskap intelektual dan politik negara.
Tempat ini dikenali sebagai Galeri Abu Bakar Hamzah, yang ditubuhkan pada tahun 1994 selepas pemergian beliau.
Galeri ini bukan sekadar ruang penyimpanan bahan sejarah, tetapi menjadi simbol kesetiaan anak murid dan keluarga terhadap perjuangan ilmu dan dakwah.
Ia diasaskan atas inisiatif ibu bapa Mohd Fuad Mansor, 42, anak murid arwah secara tidak langsung, yang berusaha mengumpulkan dan memelihara peninggalan ilmiah Allahyarham tersimpan di beberapa lokasi termasuk rumah asal beliau di Bachok, Kelantan, di Kampung Bangsal Lebah, Kayang dan juga di Kuala Lumpur.
“Sebahagian besar koleksi galeri ini mengandungi kitab dan buku rujukan yang sangat bernilai ada yang sukar ditemui di pasaran.
“Ketika abang dan kakak kami menuntut di Mesir dan Jordan, mereka menjadikan koleksi ini sebagai sumber utama rujukan,” kata Mohd Fuad.
Katanya lagi, perkara yang jarang disebut dalam catatan sejarah ialah peranan besar isteri Allahyarham, Kamar Ainiyah Kamaruzaman.

“Beliau bukan sahaja isteri kepada seorang pejuang Islam, malah seorang peguam yang unggul. Kamar Ainiyah pernah menjadi peguam kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes pertamanya yang bersejarah pada akhir 1990-an menjadikan beliau tokoh penting dalam sejarah guaman dan hak asasi negara.
“Ketika menetap di Alor Setar, Allahyarham Kamar Ainiyah membeli sebuah rumah bersebelahan rumah keluarga Mohd Fuad semata-mata untuk dijadikan perpustakaan menyimpan kitab-kitab arwah.
“Rumah itu menjadi tumpuan para ilmuwan, pelajar dan pengkaji dari dalam dan luar negara, termasuk wakil Kedutaan Iran yang pernah berhubung langsung dengan Ustaz Abu Bakar Hamzah,” katanya lagi.
Setelah ayah bersara daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan pemergian ibu Mohd Fuad, ayahnya memutuskan untuk berpindah ke Kampung Rama pada tahun 2005.
“Di sinilah kami mula memindahkan semua koleksi dan dokumen penting peninggalan arwah dari lokasi terdahulu, dan menyusunnya semula sebagai galeri peribadi di tingkat atas rumah kami.
“Kini, hampir 70 peratus daripada koleksi ini adalah milik arwah Ustaz Abu Bakar, termasuk lebih 100 hasil penulisan asli beliau selain kertas kerja, nota tangan dan keratan akhbar yang mencerminkan pemikiran dan perjuangan beliau dari tahun ke tahun,” ujar Mohd Fuad.
Galeri itu juga ujarnya, pernah menerima kunjungan pelajar dan penyelidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UNISHAMS, dahulunya Kolej Universiti Insaniah), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lain-lain.

“Namun dengan perkembangan teknologi digital, jumlah kunjungan fizikal kini semakin berkurang.
“Meski begitu, galeri ini kekal aktif dan pernah mendapat kunjungan serta bimbingan teknikal daripada Arkib Negara Malaysia mengenai pemeliharaan bahan sejarah,” ujarnya.
Mohd Fuad kini memikul tanggungjawab penuh menguruskan galeri ini, dibantu oleh ayahnya yang berusia 74 tahun.
Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah dilahirkan pada tahun 1925 di Kampung Bangsal Lebah, Kangar, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behor Lateh, sebelum meneruskan pengajian di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang dan Madrasah Alawiyah Ad-Diniyah (MAAD) atau dahulunya dikenali sebagai Alawiyah di Arau.
Beliau juga pernah menuntut di Sekolah Cina Hwa Aik semasa pendudukan Jepun.
Beliau memulakan kerjaya sebagai anggota polis pada tahun 1946, namun meninggalkan bidang tersebut demi menyumbang kepada pendidikan Islam.
Beliau pernah mengajar di Gunung Semanggol, Kati, Air Hitam, dan Pulau Pinang.
Dalam arena politik, beliau mula aktif sejak 1951 bersama Umno sebelum menyertai PAS pada 1955.
Sepanjang penglibatan politiknya, beliau pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Bachok (1964–1969), dan Senator (1971–1977).


Ketika menjadi Ahli Parlimen, beliau turut serta dalam delegasi perbincangan penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bersama Tunku Abdul Rahman.
Disebabkan isu dasar, beliau pernah dipecat daripada PAS dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dari Universiti Kent, England, dan menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau kembali menyertai PAS pada tahun 1983 dan bertanding jawatan Presiden PAS dalam Muktamar 1985.
Antara karya penting beliau ialah Konsep Kepimpinan Ulama Dalam Politik, Hak Asasi Manusia Menurut Islam, Ke Arah Perlembagaan Islam, Fatwa Kafir Mengkafir Dalam Islam, Taqlid Buta dalam Alam Politik, Gambaran Perjuangan Pemuda PAS, Events That Led to Gulf War dan pelbagai lagi.
“Karya-karya ini mencerminkan keberanian intelektual dan visi politik Islam yang progresif. Ia kekal menjadi rujukan penting dalam wacana Islam kontemporari negara,” tambah Mohd Fuad.
Galeri Abu Bakar Hamzah bukan sekadar ruang fizikal, tetapi medan ingatan dan penghargaan terhadap seorang ulama dan negarawan yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk Islam dan ummah.
Ia adalah tanda cinta keluarga, anak murid dan masyarakat terhadap ilmu dan perjuangan.
“Semoga suatu hari nanti, galeri ini dapat diangkat sebagai pusat penyelidikan rasmi atau memorial intelektual agar jasa dan warisan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah serta isterinya, Kamal Ainiyah, terus dikenang dan menjadi rujukan generasi akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2025














