
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan DAPSY bersikap biadab atas reaksi tindakan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) terhadap sebuah klinik pergigian setelah berlaku kesalahan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.
Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, DAPSY telah menunjukkan sikap hipokrit dan dangkal serta satu bentuk penghinaan terhadap peranan dan integriti pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mempertikaikan keputusan tersebut.
“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara, sesiapa sahaja yang didapati bersalah menghina tanpa mengira bangsa, kaum, agama, dan latar belakang politik mesti menerima hukuman yang setimpal,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya amat pelik mengapa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) perlu masuk campur dan mempertahankan kecuaian serta kesalahan yang memalukan negara seperti itu.
“Jika isu ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, negara kita akan jadi huru-hara dan membuka ruang kepada lebih banyak penghinaan atau kesilapan besar seperti yang kita lihat pada hari ini,” tegasnya.
Tambah beliau, cubaan DAPSY melabel PBT sebagai ‘polis moral’ jelas menunjukkan ada usaha untuk mencabar kewibawaan PBT dan menggambarkan sikap anti-penguatkuasaan terhadap isu besar negara.
Muhammad Faizzuddin menegaskan bahawa patriotisme bukan hanya soal pendidikan atau dorongan, tetapi perlu disokong dengan tindakan tegas terhadap mereka yang cuai dan biadab.
“Tanpa penguatkuasaan, Jalur Gemilang hanya akan jadi simbol biasa yang mudah dipersendakan pada masa akan datang,” katanya turut memberi amaran kepada DAPSY agar berhenti bersikap angkuh dan menghina PBT.
Beliau menggesa sayap DAP itu supaya belajar menghormati undang-undang, kedaulatan negara dan menjunjung setinggi-tingginya bendera yang menjadi maruah rakyat dan negara Malaysia.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa DAPSY menggesa Kerajaan Johor campur tangan dalam isu premis pergigian di Pontian setelah premis itu diarahkan tutup 30 hari oleh MPPn kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
DAPSY dilaporkan menyifatkan tindakan penutupan tersebut keterlaluan dan tidak sepadan. – HARAKAHDAILY 24/8/2025











