
KUALA LUMPUR: PAS memandang serius siasatan polis ke atas editor portal berita MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya, susulan laporan polis yang dibuat oleh ahli perniagaan terkenal dan bekas pemimpin PKR, Dato’ Seri Farhash Wafa Salvador.
Berdasarkan laporan, Abdar Rahman disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan portal itu mengenai dakwaan skandal pemberian lesen penerokaan mineral di Sabah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan itu melibatkan syarikat milik bersama ahli perniagaan terbabit yang juga bekas pegawai kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“PAS melihat siasatan polis ini agak berlebih-lebihan dan tampak lebih bertujuan intimidasi untuk mengunci mulut media daripada mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan tertentu.
“Kepantasan siasatan dan hakikat bahawa pihak-pihak yang didakwa terlibat sudah pun mengambil tindakan masing-masing menolak laporan media itu sama ada melalui penjelasan, penafian.
“(Ia) atau saman sivil terhadap Abdar Rahman dan portal berkenaan menyebabkan siasatan polis boleh dianggap tidak mendesak atau perlu,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkara itu hampir sama dengan kes melibatkan wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, yang didakwa bawah Akta SPRM susulan laporan dibuat pihak berkepentingan berhubung pendedahan kartel kemasukan pekerja asing di KLIA pada Februari lalu.
Justeru katanya, PAS menegaskan badan penguat kuasa perlu mengutamakan pendedahan salah laku atau perbuatan jenayah yang didakwa berlaku, bukannya menyasarkan wartawan serta media melaporkannya.
“Ini lebih-lebih lagi apabila siasatan dimulakan berikutan laporan dibuat pihak-pihak yang mempunyai kepentingan langsung dalam kedua-dua kes.
“Tindakan sebegini oleh badan penguat kuasa boleh dilihat sebagai langkah mundur yang bertentangan dengan peranan wartawan dan media sebagai tonggak penting demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang,” tempelaknya.
Takiyuddin menegaskan, sebarang tindakan yang dilihat mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan teras keempat demokrasi perlu dielakkan sama sekali.
“Profesionalisme dan integriti badan-badan penguat kuasa bukan sahaja mesti dihormati serta dipertahankan oleh semua pihak tanpa memilih bulu, tetapi juga dijamin bebas daripada semua bentuk campur tangan dan pengaruh luar tidak sah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2025











