Pengurusan masjid perlu profesional dan berintegriti

- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar setiap Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah di negeri ini sentiasa menjaga adab serta akhlak dalam pentadbiran dan interaksi bersama masyarakat.

- Advertisement -

Baginda menegaskan bahawa matlamat utama masjid adalah untuk terus diimarahkan, namun pihak pengurusan perlu berusaha mencari pendekatan dan inisiatif ‘di luar amalan biasa’ yang mampu memberi nilai tambah kepada kariah masing-masing.

“Masjid boleh meningkatkan keberkesanan pengurusan dengan mengurangkan kos melalui perkongsian sumber bersama komuniti dan kariah bersebelahan, penganjuran program bersama, serta penggunaan kemudahan kolektif seperti van jenazah dan tanah perkuburan.

“Selain itu, usaha penjimatan elektrik, penubuhan ‘food bank’, projek agrokomuniti serta penggunaan panel solar bukan sahaja menjimatkan kos malah menambah dana, membantu asnaf dan menjamin kelestarian masjid di samping berfungsi sebagai pusat bantuan masyarakat ketika bencana,” titah baginda.

Titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku berkenan menyempurnakan perasmian Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, di sini kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.

Multaqa yang dianjurkan JAIPs dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Mufti Negeri ini menjadi platform memperkukuh sinergi serta memastikan pentadbiran Islam di negeri Perlis dilaksanakan dengan lebih tersusun, berkesan dan berdaya saing.

Dalam majlis sama, Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan mengurniakan Anugerah Khas Jamiyyah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis.

Iaitu Anugerah Kepimpinan dan Jasa Bakti kepada mantan Guru Takmir dan Pengerusi Masjid as-Syakirin, Oran, Ustaz Ya Ali Dahaman @ Abd Rahman.

Baginda turut menyampaikan Buku Peraturan Jawatankuasa Kariah dan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid kepada 15 penerima terpilih sebagai wakil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar Multaqa ini menjadi titik tolak ke arah pengurusan masjid yang lebih profesional, berintegriti serta memberi manfaat menyeluruh kepada umat Islam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 23/8/2025

- Advertisement -