
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta sejarah apabila projek pembinaan dewan besarnya berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, iaitu sehari sebelum tarikh akhir baharu pada 15 Ogos 2025.
Dibina atas tapak berkeluasan 38,218 meter persegi, dewan serba moden ini dijangka menjadi mercu acara berprestij bagi majlis konvokesyen, persidangan, serta pelbagai program rasmi peringkat negeri dan kebangsaan.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, kejayaan menyiapkan dewan lebih awal adalah simbol komitmen universiti terhadap penyediaan fasiliti bertaraf tinggi.
“Dewan ini bukan sekadar tempat acara, tetapi lambang kebanggaan warga UniMAP dan umat Perlis. Siap lebih awal daripada jadual adalah bukti dedikasi semua pihak dalam menjamin kualiti terbaik,” katanya
Majlis Penyerahan Dewan Besar disempurnakan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP, di sini beberapa hari lalu.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) Dato’ Azman Md Hashim, wakil Maju Merge Resources Sdn Bhd, Ts Siti Syauqiah Zainuddin, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR, Dato’ Dr Balamurugan A Gopal dan Pengarah JKR Perlis, Ir Norikhwan Abu Seman.
Bangunan utama berkeluasan 4,671 meter persegi ini mampu menampung hampir 3,500 orang dalam satu-satu masa dan dilengkapi dengan pentas utama, ruang dewan dengan 2,500 tempat duduk bebas dan 995 tempat duduk tetap, bilik kawalan, bilik persalinan, tandas serta kemudahan mesra OKU, selain dilengkapi sistem penebat gema moden.
Kemudahan luar dewan pula termasuk sistem perparitan, rangkaian paip pembetungan, retikulasi air luaran, jalan dalaman, 205 petak parkir kereta, lapan parkir khas OKU, dan 84 petak motosikal.
Projek yang asalnya dijadual siap pada 3 Julai 2025, diberikan lanjutan masa (EOT 1) sehingga 15 Ogos 2025.
Namun, hasil kerjasama erat antara UniMAP, Maju Merge Resources Sdn Bhd selaku kontraktor, serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana, Perakuan Siap Kerja (CPC) berjaya dikeluarkan pada 14 Ogos 2025, sehari lebih awal daripada jadual.
Datuk Zaliman turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), JKR dan kontraktor terlibat yang memastikan projek ini disiapkan mengikut piawaian.
“Dengan fasiliti moden dan kapasiti besar, dewan ini diyakini menjadi tumpuan acara berprestij, sekali gus memperkukuh reputasi UniMAP sebagai universiti teknikal yang dinamik dan berdaya saing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/8/2025











