Pemuda urus PASTI, menteri usah ‘double standard’

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menegur tindakan Menteri Sumber Manusia yang dilihat lebih gemar mengulas isu berkaitan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berbanding memberi tumpuan kepada masalah utama dalam kementeriannya.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, PASTI merupakan institusi pendidikan awal kanak-kanak rasmi milik Dewan Pemuda PAS yang telah bertapak sejak puluhan tahun dan kini menjadi sebahagian daripada pilihan masyarakat tanpa mengira latar politik.

“PASTI lahir daripada keprihatinan anak muda PAS untuk menyediakan ruang pendidikan asas yang berteraskan nilai agama dan akhlak kepada masyarakat. Hari ini, PASTI bukan lagi sekadar institusi parti, tetapi telah menjadi institusi masyarakat.

“Ia dekat di hati rakyat, tanpa mengira latar politik kerana ribuan ibu bapa seluruh negara meletakkan harapan pendidikan awal anak mereka di PASTI. Ramai generasi yang kini dewasa adalah hasil didikan PASTI, ini bukti kepercayaan rakyat.

“Malangnya, YB Menteri Sumber Manusia dilihat lebih berminat untuk menyerang PASTI daripada memberi tumpuan kepada masalah besar di kementeriannya sendiri.

“Seolah-olah beliau lupa bahawa tugasnya adalah menjaga kebajikan pekerja dan penjawat awam, bukan mencari salah orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau mempersoalkan kenyataan menteri itu yang menuntut gaji guru PASTI diselaraskan kepada RM1,700, sedangkan guru tadika di bawah kerajaan sendiri masih berkhidmat dengan kadar jauh lebih rendah.

“Lebih menghairankan, YB Menteri beria-ia bercakap soal gaji guru PASTI, kononnya perlu dibayar setaraf RM1,700, sedangkan di bawah tadika kerajaan sendiri (KEMAS), terdapat jawatan Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS) dengan gaji RM800 sebulan sahaja.

“”Itu pun baru naik selepas peruntukan khas belanjawan dan statusnya masih sukarela, tanpa jaminan pencen. Adakah YB Menteri sedar yang Akta MGPN melalui PGM hanya mewajibkan kepada semua pekerja termasuk sektor swasta tetapi tidak kepada sukarelawan.

“Adakah YB Menteri ingin bermain api dalam sekam hanya semata-mata dendam politik? Guru-guru PASTI pula, walaupun ada berkelulusan tinggi hingga ke peringkat sarjana, rela berkhidmat secara sukarela dengan kadar elaun hampir sama, tanpa satu sen bantuan kerajaan.

“Bezanya, mereka tetap komited mendidik generasi, sedangkan PASTI berdiri atas kaki sendiri dengan yuran rendah yang mampu dibayar masyarakat,” katanya.

Menurut Zulfadli, adalah tidak wajar kerajaan menganggap pembayaran elaun sukarela RM800 di KEMAS sebagai memadai, tetapi pada masa sama mendesak PASTI membayar guru sehingga RM1,700.

“Kalau benar serius mahu bela guru tadika, mulakan dulu dengan menaikkan taraf dan gaji guru serta pembantu tadika KEMAS sebelum sibuk campur tangan dalam urusan PASTI,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa PASTI adalah institusi milik Pemuda PAS yang dekat di hati masyarakat dan akan terus dipertahankan.

“Kalau kerajaan tidak mampu bantu, jangan pula diganggu. Rakyat sedang menunggu penyelesaian isu sebenar yang berada di bawah tanggungjawab YB Menteri iaitu kos sara hidup penjawat awam kian menghimpit, hak pekerja swasta masih terabai, peluang pekerjaan anak muda semakin sempit.

“Justeru, fokuslah pada amanah rakyat, bukan mencari populariti dengan menyerang institusi yang rakyat cintai. Jangan kerana galak hendak menganggu institusi PASTI, tanggungjawab sepatutnya terus terabai,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2025

- Advertisement -