Tak masuk akal, runding terus canggah tatakelola

LRT Pulau Pinang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ridza Abdoh Salleh membidas kewajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang disifatkan beliau sebagai tidak munasabah dari segi kos dan kepadatan penduduk.

- Advertisement -

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad itu turut mempersoalkan penganugerahan secara rundingan terus yang bercanggah dengan laungan reformasi tatakelola oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, pendirian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menganggap projek mega menghubungkan tanah besar dengan Langkawi sebagai tidak masuk akal adalah tepat, namun prinsip sama anehnya tidak diguna pakai untuk projek LRT Pulau Pinang.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Menteri. Namun, jika projek untuk Langkawi dianggap tidak masuk akal, atas hujah apakah projek yang menelan belanja lebih RM16 bilion untuk sebuah pulau dengan 700,000 penduduk boleh diterima? Logiknya di mana?” soal beliau.

Dato’ Ridza, yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan pengangkutan awam negara, turut melahirkan rasa hairan terhadap justifikasi penganugerahan projek bernilai RM8 bilion secara terus kepada SRS Consortium.

Menurutnya, tindakan ini seolah-olah menafikan komitmen Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang setiap hari berbangga mengumumkan bahawa semua projek kerajaan kini mesti melalui proses tender terbuka untuk memastikan ketelusan dan nilai terbaik untuk wang rakyat.

“Ini menimbulkan kekeliruan besar di kalangan rakyat dan pemerhati industri. Siapakah yang sebenarnya membuat keputusan? Setiap hari Perdana Menteri memberi jaminan tiada lagi anugerah terus, tetapi projek sebesar ini terlepas daripada dasar tersebut.

“Perkara ini amat sukar diterima dan memberi isyarat yang salah kepada semua pihak,” tegasnya turut mengaitkan percanggahan dasar di peringkat tertinggi ini dengan peningkatan masalah di peringkat bawahan.

Katanya, apabila janji dan peraturan boleh dimalapkan di peringkat kepimpinan, janganlah dihairankan jika berlaku ketirisan dan salah laku di agensi-agensi pelaksana.

“Apabila janji mudah dimungkiri di atas, maka pelanggaran peraturan di bawah akan dianggap biasa. Inilah puncanya kita melihat pelbagai masalah seperti perniagaan haram, penyeludupan dan sebagainya berlaku secara terang-terangan.

“Jangan salahkan pihak berkuasa di lapangan, kerana kerosakan sebenarnya bermula dari ‘kepala’, bak kata pepatah, ikan busuk bermula dari kepala,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan agar meneliti semula projek ini secara telus dan memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan penuh pertanggungjawaban, selari dengan janji reformasi yang dilaungkan. – HARAKAHDAILY 22/8/2025

- Advertisement -